G.I. Joe adalah barisan figura aksi dari Hasbro bertemakan tentera di Amerika Syarikat. G.I Joe itu sendiri bermaksud askar/tentera. Populariti figura aksi ini menjadikan banyak animasi dihasilkan. Pada tahun 2009, filem aksi nyata pertama dihasilkan dengan judul G.I. Joe: The Rise of Cobra dan sekuel pada tahun 2013 G.I. Joe: Retaliation.
Sudah tujuh tahun sejak filem aksi nyata G.I. Joe ditayangkan, akhirnya tahun ini kita muka kedengaran mengenai filem sampingan – Snake Eyes: G.I. Joe Origins diumumkan pada awal tahun. Selepas beberapa bulan, filem ini dilaporkan telah selesai penggambaran utama dan perkara yang mengejutkan adalah Henry Golding dipilih sebagai pelakon untuk Snake Eyes.
Walaupun berita mengenai filem ini sudah lama, tiada sebarang kemaskini, sinopsis atau video acah – ia masih menjadi tarikan bagi peminat G.I. Joe. Dalam acara CCXP (Comic Con Brazil), Henry Golding telah menjelaskan yang filem ini akan memfokuskan hubungan persahabatan antara Snake Eyes dan juga Storm Shadow. Memandangkan ini adalah filem sekuel, boleh jadi yang Snake Eyes masih belum menyertai pasukan G.I. Joe lagi.
Antara pelakon lain yang terlibat dalam filem ini adalah Andrew Koji sebagai Storm Shadow, Iko Uwais sebagai Hard Master, Peter Mensah sebagai Blind Master, Úrsula Corberó sebagai Baroness dan Samara Weaving sebagai Scarlett. Disebabkan pandemik Covid-19, filem ini dijadualkan untuk ditayangkan pada Oktober 2021, berbanding tarikh asal Mac 2020.
Bagi yang tidak tahu, pelakon asal filem aksi nyata Snake Eyes adalah Ray Park untuk filem The Rise of Cobra dan Retaliation. Tiada butiran jelas kenapa Ray Park tidak dipilih dan adakah G.I. Joe Origins ini berlaku di dunia yang sama dengan dua filem sebelum ini. Sama-sama kita nantikan.