Skip to main content

Siri konsol permainan generasi baru Sony PlayStation 5 baru sahaja dilancarkan pada bulan lalu, dan akan tiba di pasaran tempatan pada 10 Disember kelak, tetapi Sony nampaknya sudahpun mula mengorak langkah untuk membangunkan sebuah konsol yang lebih berkuasa.

T3 baru-baru ini melaporkan bahawa Sony dilihat telah memfailkan sebuah paten untuk konsol permainan yang hadir dengan dua cip pemprosesan grafik yang terbina didalamnya.

Seperti yang sedia maklum, PlayStation 5 dikuasakan oleh sebuah SoC (sistem dalam cip) keluaran AMD yang menggabungkan cip pemprosesan Zen dan juga RDNA2 didalam satu cipset.

Paten yang diperlihatkan ini menggunakan dua cip pemprosesan grafik, tetapi tiada pengkhususan yang diberitahu setakat ini. Ini bermakna bahawa dua konfigurasi APU yang menggabungkan dua bahagian CPU dan dua bahagian GPU akan digabungkan kedalam satu SoC, ataupun dua SoC yang berbeza akan digunakan dalam satu konfigurasi konsol.

Konsol “PlayStation 5 Pro” mungkin juga akan hadir dengan jumlah memori yang lebih banyak, membolehkannya menggerakkan permainan-permainan video dengan kualiti grafik yang lebih baik pada resolusi-resolusi tinggi.

Paten tersebut turut mengatakan sedikit mengenai perkhidmatan penstriman awanan dimana seperti sedia maklum, Sony mempunyai perkhidmatan mereka sendiri yang dinamakan PlayStation Now. Paten ini mungkin juga satu cara untuk meningkatkan mutu perkhidmatan tersebut di masa akan datang.

Pada pendapat kami, konsol “PlayStation 5 Pro” yang menggunakan dua cip pemprosesan grafik ini tidak akan hadir dalam masa yang terdekat lagi. Dan jika benar Sony akan melancarkannya, kami menjangkakan bahawa ia akan hadir dengan tanda harga yang jauh lebih tinggi berbanding dengan apa yang ditawarkan sekarang.

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai paten ini, anda boleh membacanya di sini.

Leave a Reply