Walaupun sudah lebih dari 7 tahun permainan Grand Theft Auto Online (GTA Online) dilancarkan di PC dan konsol, Rockstar Games kini masih lagi menyertakan pelbagai kandungan dan kemaskini buat permainan tersebut di mana minggu ini, mereka mengumumkan acara khas The Cayo Perico Heist akan tiba pada 15 Disember ini.
Melalui kemaskini ini, pemain berupaya untuk melakukan misi rompakan di kepulauan Cayo Perico di mana ia mempunyai pelbagai ganjaran bernilai seperti karya seni, emas dan wang sebanyak mana yang boleh pemain bawa.
Dengan pelbagai kelengkapan dan gaya rompakan, pemain boleh melakukannya secara solo ataupun bersama kru untuk merompak salah satu kandungan terbesar untuk permainan GTA Online ini. Seperti biasa, pemain juga boleh dapatkan pelbagai jenis senjata dan kenderaan baharu dengan pelbagai ganjaran dan lokasi menarik lain.
GTA Online hadir bersama dengan GTA V yang sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC. Ia juga akan tiba untuk PlayStation 5 dan Xbox Series.