Menurut laporan Deadline, Warner Bros disahkan akan menghasilkan filem sampingan berdasarkan dunia filem Mad Max: Fury Road yang memfokuskan watak Furiosa.

Filem tersebut akan memfokuskan perwatakan asal Furiosa yang lebih muda, sekaligus ia akan dilakonkan oleh pelakon lain iaitu Anya Taylor-Joy. Watak Furiosa sebelum ini dilakonkan oleh Charlize Theron, yang mana ia memaparkan watak yang lebih matang dan tua.
Deadline juga melaporkan Chris Hemsworth dan Yahya Abdul-Mateen II turut akan membintangi filem tersebut dan seperti filem Mad Max: Fury Road, ia juga akan diarah dan diterbit oleh George Miller bersama Dough Mitchell. Filem tersebut juga akan dihasilkan oleh studio produksi mereka iaitu Kennedy Miller Mitchell bersama Warner Bros. Pictures.
Bagi peminat watak Furiosa di dalam filem Mad Max: Fury Road, semestinya ini adalah satu pengumuman yang dinantikan. Walaupun Charlize Theron tidak lagi akan memegang watak Furiosa, atas sebab ia memfokuskan watak Furiosa yang lebih muda, kami juga berasa Anya Taylor-Joy merupakan satu pilihan yang tepat.
Kami akan mengemaskini informasi lanjut setelah ia diumumkan kelak.


