Kebiasaannya kita lihat sesuatu watak yang tidak sepatutnya sedar diri dan menerima kesedaran adalah untuk filem seram, robot, kecerdasan buatan atau kematian. Tetapi Free Guy adalah satu filem yang berbeza, kerana ia adalah watak NPC (watak permainan video yang tidak boleh dimainkan) dalam sebuah permainan video yang menerima kesedaran. Beliau hanya ingin bebas dari dunia permainan video.
Filem ini seperti yang dilaporkan semalam, akan ditayangkan pada 11 Disember. Poster baru turut diperlihatkan. Semalam, Ryan Reynolds turut menerbit video acah kedua bagi filem ini di saluran YouTube peribadi beliau.
Berdasarkan video acah ini, Guy iaitu watak yang dilakonkan oleh Ryan Reynolds sedar diri yang beliau adalah watak yang tidak boleh dimainkan dan “terperangkap” dalam dunia permainan video sahaja. Atas kesedaran ini, beliau mula bertindak secara bebas dan seakan merosakkan permainan video ini. Ia menyebabkan berlakunya “pepijat” dan pembangun permainan video ingin matikan terus permainan ini.

Ia turut memperlihatkan pelbagai aksi menarik dan lucu. Cara Guy cuba yakinkan seluruh watak lain dalam dunia ini, cara beliau ingin rosakkan permainan dan hanya ingin bebas – memperlihatkan seakan sebuah filem yang menarik. Filem ini turut dihasilkan oleh mereka yang terlibat dengan filem Deadpool. Jadi, faham-faham sahajalah Ryan Reynolds akan jadi Ryan Reynolds.