Filem “The Suicide Squad” adalah soft reboot bagi filem “Suicide Squad” yang berlaku dalam dunia DCEU. Filem kedua ini diarahkan oleh James Gunn, yang mana semasa DC FanDome – video di sebalik tabir diperlihatkan. Filem ini membawa pelbagai watak penjahat yang menjadi “wira” dari pelbagai pelakon popular.
Salah seorang pelakon dalam filem ini adalah John Cena, yang memainkan watak Peacemaker. Terkini, James Gunn akan terlibat dengan projek siri TV “F#ck! It’s Peacemaker”. Ia akan mengekalkan John Cena sebagai watak utama dan siri TV ini akan ditulis oleh Peter Safran. Secara tidak langsung, siri ini menjadi siri TV pertama DCEU. Ia akan disiarkan secara eksklusif di HBO Max.
Peacemaker, atau dalam komik adalah Christopher Smith – merupakan seorang wira yang ingin selesaikan semua masalah secara aman. Tetapi kemudian, kisah silam beliau mula menghantui dan terus berubah menjadi vigilante yang kejam dengan membunuh orang begitu sahaja. Beliau memiliki sejenis helmet, yang dipercayai mempunyai bisikan “mangsa” beliau yang sudah mati untuk memberi nasihat.
Nampaknya Warner Bros. dan DC sudah mula bersedia menandingi Disney dan Marvel, seperti siri TV MCU yang eksklusif di Disney+. Cuma mereka hadir dengan siri TV DCEU dalam HBO Max. Sama-sama kita nantikan.