Selepas penantian yang lama, video acah pertama untuk Dune akhirnya dipertontonkan oleh Warner Bros dan kami boleh katakan ia sangat nampak epik. Anda boleh tonton sendiri video tersebut di bawah.

Dune merupakan filem arahan Denis Villeneuve yang terkenal dengan filem seperti Blade Runner 2049, Arrival dan Sicario. Oleh kerana filem-filem terbaru beliau buat masa ini masih lagi tiada yang “gagal”, harapan untuk filem Dune adalah tinggi.

Setakat ini berdasarkan video acah, ia tidak nampak mengecewakan. Tambahan filem ini juga terdiri daripada senarai pelakon yang ternama seperti Timothee Chalamet, Zendaya, Jason Momoa, Oscar Issacs, Rebecca Ferguson, Josh Brolin dan ramai lagi.

Dune adalah filem adaptasi novel berjudul sama yang ditulis oleh Frank Herbert, ia dikeluarkan pada tahun 1965. Buat masa ini filem ini dirancang untuk mempunyai 2 bahagian, di mana filem pertama akan menyertakan bahagia separuh pertama novel tersebut.

Ini bukanlah filem pertama yang dihasilkan berdasarkan novel tersebut, pada tahun 1984 filem Dune arahan David Lynch telah dikeluarkan tetapi menerima penerimaan yang sangat negatif sehinggakan sesetengah media mengatakan ia adalah filem paling teruk waktu itu. Kegagalan filem tersebut dikaitkan dengan David Lynch yang kurang memahami sumber asal dan masalah pasca-produksi seperti suntingan.

Filem Dune ini dijangka akan dikeluarkan pada 18 Disember 2020.

Sohor Kini