Sejak awal tahun ini, kita dapat lihat bahawa banyak studio-studio animasi dan aksi nyata di Jepun mula membuka saluran YouTube mereka sendiri untuk menyiarkan kandungan anime ke peminat-peminat anime di seluruh dunia.
Terkini, beberapa studio animasi besar di Jepun, seperti Toei Animation dan Kodansha bergabung tenaga untuk membuka sebuah saluran YouTube yang dinamakan AnimeLog untuk menayangkan siri-siri anime popular mereka di platform tersebut.
Secara teknikalnya, beberapa daripada studio-studio ini sudahpun mempunyai saluran YouTube mereka sendiri, tetapi gabungan baru ini dikatakan akan memudahkan lagi peminat-peminat anime di seluruh dunia untuk menonton rancangan kegemaran mereka secara sah.
Menurut AnalyzeLog, syarikat dibelakang gabungan ini, mereka berharap untuk mendapatkan sokongan daripada 30 studio animasi Jepun untuk menayangkan 3000 episod anime dan menerima 300 juta tontonan sebulan menjelang 2022.
Buat masa ini, saluran AnimeLog masih dibawah sekatan geo, tetapi terdapat laporan yang mengatakan ia akan tiba dengan kandungan untuk pasaran global dengan sarikata dalam pelbagai bahasa tidak lama lagi.