Siri TV Aksi Nyata Percy Jackson Akan Hadir Untuk Disney+

Percy Jackson & the Olympians: The Lightning Thief adalah filem yang diadaptasi dari novel judul yang sama. Filem ini ditayangkan pada tahun 2010 dan novelnya pula mula dijual pada tahun 2005. Ia mengisahkan Percy yang ada penyakit disleksia dan baru sedar selama ini beliau adalah separa-tuhan dan telah dituduh mencuri panah petir milik Zeus. Secara tidak langsung beliau mula mempelajari kuasa beliau dan perlu menentang tuhan lain. Filem ini turut mempunyai sekuel berdasarkan novel kedua yang ditulis pada tahun 2006 dan filem ditayangkan pada 2013 dengan judul Percy Jackson: Sea of Monsters.

https://twitter.com/rickriordan/status/1261008593077374977

Namun, disebabkan kutipan filem kedua yang mengecewakan filem ini tidak diteruskan untuk filem ketiga. Tetapi ada berita menarik buat peminat novel atau filem Percy Jackson ini kerana, terdapat siri TV akan dihasilkan untuk Disney+. Pengumuman ini diberikan oleh Rick Riordan iaitu penulis bagi siri novel ini yang mempunyai lima episod. Menurut beliau, siri TV ini adalah aksi nyata dan mempunyai kualiti yang tinggi. Ia akan diadaptasi secara terus dari lima novel beliau, yang mana berkemungkinan akan mempunyai lima musim. Musim pertama akan bermula dengan The Lightning Thief. Bagi memastikan kualiti filem terjamin, Rick mengatakan beliau turut akan terlibat dengan pembangunan siri TV ini.

Masih tiada sebarang berita atau pengumuman mengenai siri TV ini, sama ada bila ia akan disiarkan dan bila ia akan mula dirakam. Dengan wabak koronavirus Covid-19 ini masih menular, proses penggambaran mungkin akan tergendala atau ditangguhkan. Disebabkan siri TV ini dikatakan masih berada di peringkat awal, mungkin ia masih berada di tahap perancangan atau penulisan skrip. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini