Filem Saw adalah filem dari James Wan, ia adalah antara karya terawal beliau dan ia dimulakan sebagai sebuah filem pendek pada tahun 2003. Tahun 2004, filem penuh mula ditayangkan dan sehingga tahun 2017 sudah ada lapan filem dalam francais filem Saw. Filem Saw adalah filem yang sangat ngeri, geli dan ganas. Ia banyak adegan yang penuh dengan darah, potong-memotong tubuh manusia, pembunuhan dan mungkin boleh membuatkan penonton rasa ingin muntah.
Tiga tahun sudah berlalu untuk filem Jigsaw, iaitu filem ke lapan dalam francais ini – video acah buat filem kesembilan akhirnya diterbitkan. Judul filem kesembilan ini adalah Spiral, dan ia adalah filem Saw dengan nafas baharu. Menurut salah seorang penulis filem ini, Josh Stolberg – Spiral bukannya filem olahan semula. Tetapi berkait dengan filem-filem Saw yang lain, kerana filem kesembilan ini berada dalam dunia yang sama. Menjadikan filem ini lebih unik dan menarik adalah, Chris Rock iaitu seorang pelawak terkenal terlibat dalam filem ini.

Dalam filem ini, Chris Rock berlakon sebagai Detektif Ezekiel “Zeke” Banks. Beliau bersama-sama dengan rakan sekerja William Schenk lakonan Max Minghella sedang menyiasat satu jenayah ngeri yang mana penjahatnya menyasarkan polis. Jenayah ini pula seakan berkait dengan kisah silam ngeri yang berlaku di masa silam dalam bandar yang sama. Di samping itu, turut terdapat seorang polis veteran Marcus Banks lakonan Samuel L. Jackson yang menyiasat di belakang tabir – yang mana beliau adalah bapa kepada Detektif Banks.

Filem ini diarahkan oleh Darren Lynn Bousman, yang mana sebelum ini beliau telah mengarah filem Saw I, Saw III dan Saw IV. Idea filem ini datang dari Chris Rock sendiri, yang mana beliau adalah peminat akan filem ini. Namun, untuk filem Spiral – Chris Rock akan masukkan sedikit elemen komedi sambil mengekalkan elemen-elemen ngeri Saw yang asal. Chris Rock adalah antara penerbit dan penulis filem Spiral, bersama-sama dengan James Wan sebagai penerbit eksekutif. Secara tidak langsung, Spiral akan menjadi sebuah filem Saw dengan nafas yang baru.
Filem ini dilihat mungkin akan ada masa hadapan. Ini kerana berdasarkan senarai pelakon, Samuel L. Jackson – ia adalah sebuah filem dengan bajet yang tinggi. Josh Stolberg turut ada nyatakan jika, filem Saw X akan dihasilkan ada kemungkinan besar filem Spiral akan dikaitkan secara terus dengan filem-filem Saw yang lain. Walaupun filem ini adalah satu nafas baru, elemen-elemen asal Saw seperti patung seram masih dikekalkan. Namun patung dalam filem ini berkemungkinan berbeza. Seterusnya, perangkap dalam filem Spiral turut akan mengekelakan perangkap sama dalam Saw – seperti tangan digari pada besi dan gergaji diberikan kepada mangsa. Dalam video acah, Detektif Banks dilihat telah terperangkap dalam situasi ini.

Sejak 2004 sehingga 2017, tiada langsung filem Saw ditayangkan di Malaysia. Ia telah dilarang masuk kerana terdapat banyak kandungan seksa, negeri, dan kekejaman. Akan tetapi, untuk filem Spiral – GSC, TGV dan MBO telah mengesahkan yang ia akan ditayangkan di Malaysia pada 15 Mei kelak. Adakah FINAS akan membuat suntingan ekstrem sehinggakan filem ini menjadi bosan? Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan filem ini ditayangkan bulan Mei ini.