DD Animation Studio ataupun Digital Durian adalah satu lagi syarikat produksi animasi tempatan yang terkenal. Mungkin nama syarikat tidak ramai kenal, tetapi Digital Durian bertanggungjawab dalam menghasilkan animasi 3D kanak-kanak Didi & Friends. Siri animasi ini adalah jenis muzikal dan banyak menyampaikan lagu-lagu nurseri yang liriknya mudah diikuti orang ramai. Selain itu, Digital Durian turut terkenal dengan siri animasi Omar & Hana – iaitu siri animasi islamik untuk kanak-kanak.

Didi & Friends adalah siri animasi mereka yang paling terkenal. Ia mula disiarkan pada 15 Mei 2014 dan telah pun mempunyai filem tersendiri – Konsert Hora Horey Didi & Friends (2018). Animasi ini berkisarkan tiga ekor haiwan Didi, Jojo dan Nana serta kawan-kawan haiwan antropomorfik. Durian Digital nampaknya turut ingin hadir dengan filem animasi lain, iaitu Didi & Friends The Movie. Ada kemungkinan besar ia adalah filem penuh dan bukan seperti tahun 2018 yang memfokuskan konsert.

Namun, masih tiada sinopsis atau butiran mengenai filem ini. Skrip filem sekarang sudah pun masuk draf kedua, menurut Hairul Faizal Izwan (Penerbit & Pengasas DD Animation Studio. Jika skrip selesai tahun ini, kita mungkin akan lihat filemnya pada tahun 2021 atau sekurang-kurangnya video acah pada tahun ini.

Ya, ia bukan filem untuk semua orang. Fokus 100% untuk kanak-kanak yang gemarkan muzikal atau ibu bapa yang ingin menghiburkan anak-anak atau mendidik mereka. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini