Informasi Permainan Video Terkini
Crisis On Infinite Earths Adalah Acara Rentas Siri Paling Besar Dalam Sejarah Cerita Adiwira Bersiri

Crisis On Infinite Earths Adalah Acara Rentas Siri Paling Besar Dalam Sejarah Cerita Adiwira Bersiri

Diterbitkan pada Dis 9, 2019 oleh .

Arrowverse adalah dunia DC versi siri TV. Ia amat berbeza dengan dunia platform penstriman video DC Universe dan juga dunia filem DCEU. Ia juga boleh dikatakan adalah dunia DC yang paling berjaya, kerana ada kesinambungannya dan masih bertahan sehingga hari ini (Tidak seperti filem-filem DCEU yang sudah tiada arah tuju). Dalam dunia Arrowverse, akan ada acara rentas siri yang menggabungkan pelbagai siri TV DC dari CW ke dalam beberapa episod khas. Untuk tahun ini, ia adalah acara yang ketiga dan mungkin yang terakhir.

Acara yang sudah pun berlangsung adalah rentas siri Crisis On Earth-X, Elseworld dan yang terkini bakal disiarkan adalah Crisis On Infinite Earths. Jika Elseworld pasukan Legends of Tomorrow tiada, kali ini mereka akan kembali. Jika tidak cukup dengan itu, Black Lightning akhirnya akan sertai rentas siri ini yang mana secara tidak langsung, mengembangkan lagi dunia Arrowverse. Jika itu tidak cukup memeranjatkan, akan ada banyak kejutan lain dalam acara rentas siri ini. Berikut adalah kejutan-kejutan yang dapat kami bongkarkan setakat ini;


Batman Lakonan Kevin Conroy

Kevin Conroy adalah pelakon suara yang dikenali ramai kerana meminjamkan suara beliau untuk watak Bruce Wayne dan Batman dalam pelbagai animasi Batman dan permainan video. Tetapi beliau tidak pernah lagi muncul lagi dalam mana-mana filem atau siri TV sebagai Batman atau Bruce Wayne. Dalam rentas siri Crisis On Infinite Earths, beliau akan berlakon sebagai Batman yang berkait dengan siri TV Batwoman. Dalam siri TV Batwoman, Bruce Wayne/Batman telah hilang atau larikan diri. Akhirnya watak ini akan diperlihatkan dalam dunia Arrowverse.

Empat Superman

Dalam Arrowverse, watak Superman dimainkan oleh Tyler Hoechlin. Perwatakan beliau amat berbeza dengan mana-mana Superman, lebih-lebih lagi versi DCEU yang dilakonkan oleh Henry Cavill. Namun, jika anda teliti Superman versi Tyler ini – beliau lebih mirip dengan Superman dari Superman Returns lakonan Brandon Routh. Bagi mengikuti siri TV Arrowverse, Brandon Routh berlakon sebagai Ray Palmer dan juga adiwira ATOM. Dalam rentas siri ini, akan terdapat empat Superman. Satu adalah Tyler sendiri, kemudian akan ada versi Brandon Routh dari Superman Returns tetapi dengan kostum yang diambil inspirasid ari Kingdom Come. Paling mengejutkan adalah, Superman dari Smallville lakonan Tom Welling juga akan muncul.

Jika itu tidak cukup untuk anda, Superman versi Tyler akan memainkan dua watak berbeza yang mana versi satu lagi adalah Superman yang mungkin jahat. Menambah lagi kejutan, episod Crisis On Infinite Earth juga akan memperkenalkan Superboy, iaitu Jonathan Kent – anak Clerk Kent dan Lois Lane dari Arrowverse.

Penutup Bagi Siri TV Arrow

Jika anda mengikuti perkembangan siri TV Arrow, anda akan tahu yang watak Oliver Queen/Green Arrow lakonan Stephen Amell sudah disahkan akan mati akibat bencana dalam Crisis On Infinite Earth. Siri TV Arrow juga adalah yang pertama dalam dunia Arrowverse sebelum siri-siri TV lain disiarkan dan sekarang sudah pun sampai musim kelapan dan sepatutnya ditamatkan. Tetapi adakah benar ia akan tamat? Umum sedia maklum yang musim-musim hujung siri TV Arrow adalah imbas masa hadapan mengenai kehidupan Starling City. Di masa hadapan, anak-anak watak-watak utama Arrow adalah watak utama dan watak-watak utama lain sudah tua dan hanya menjadi pelakon pembantu. Jadi, benarkah siri TV Arrow akan tamat atau diteruskan oleh anak-anak Oliver seperti Mia dan rakan-rakan?

Kesemua Siri TV Dunia DC Universe Adalah Dalam Satu Dunia

Arrow, Batwoman, The Flash dan Legend of Tomorrow adalah dari bumi yang sama iaitu Earth-1. Tetapi Supergirl adalah dari Earth-38 dan banyak lagi watak-watak DC lain yang muncul dalam siri TV ini berasal dari bumi yang berbeza tetapi masih kekal dalam dunia yang sama. Jika The CW mengikut komik untuk rentas siri Crisis On Infinite Earth, banyak bumi akan musnah dan akhirnya hanya satu bumi dan dunia sahaja akan kekal. Jadi Crisis On Infinite Earth ini mungkin akan menggabungkan kesemua dunia siri TV DC dalam satu dunia.

Robin dari siri TV Batman pada tahun 1966, dilakonkan oleh Burt Ward. Burt disahkan akan muncul dalam rentas siri ini. Kemudian, dalam episod rentas siri ini – siri TV Titans dari platform pentsriman DC Universe juga kelihatan dan bandar Gotham City dari filem Batman arahan Tim Burton dan lakonan oleh Michael Keaton juga diperlihatkan dalam siri TV ini. Jadi, ini sudah sah yang semua dunia DC adalah dalam dunia yang sama – kecuali filem-filem DCEU.

Black Lightning Memainkan Watak Penting

Peminat sudah lama meminta agar siri TV Black Lightning dikaitkan dalam dunia Arrowverse. Tetapi para penerbit/penulis tidak menghiraukan langsung permintaan peminat. Akhirnya, dalam Crisis On Infinite Earth – Black Lightning muncul bagi membantu adiwira-adiwira lain. Apa yang menarik di sini adalah, watak Black Lightning bukan hanya sebagai penampilan khas. Tetapi telah dilaporkan akan memainkan watak penting dan akan muncul dalam beberapa episod rentas siri ini.

Stargirl Akan Sertai Arrowverse

Stargirl adalah siri TV baharu DC yang eksklusif untuk platform penstriman video DC Universe. Ia hanya akan disiarkan pada tahun 2020. Tetapi, pihak The CW telah menerima lesen untuk menyiarkan siri TV ini di saluran mereka. Adakah ini bermakna Stargirl berada dalam Arrowverse? Atau seperti Black Lightning, ia berada dalam dunia yang sendiri sehinggalah penerbit/penulis mempunyai hasrat untuk sertakan Stargirl dalam Arrowverse.

Peluang Baharu Untuk Filem-Filem DCEU

Dunia DCEU adalah dunia adiwira DC yang paling bercelaru. Ia langsung tiada arah tuju. Kejap berkait, kejap tidak, kemudian skrip setiap filem banyak kali diubah dan filem kerap dilaporkan tidak jadi ditayangkan, dibatalkan atau juga ditangguhkan. DCEU gagal mengikut jejak langkah MCU dan hanya mengharapkan studio-studio lain menghasilkan filem mereka dan tidak hirau akan kaitan antara setiap filem.

Warner Bros. dan studio-studio yang bertanggungjawab terhadap filem-filem DCEU sepatutnya bersatu dan hasilkan filem yang lebih baik dan hubungkan setiap filem menjadi dalam satu dunia sama. Jika stesen TV kecil The CW boleh buat, apatah lagi studio besar dengan bajet kewangan yang lebih besar? Setakat ini Arrowverse adalah satu-satunya dunia DC yang paling menarik dan nampak usahanya ingin jadikan satu dunia. Cadangan saya adalah, hasilkan satu filem sampingan yang akan terangkan dan baiki masalah-masalah filem DCEU. Ini adalah apa yang X-Men buat dan Arrowverse lakukan.


Setakat ini sahaja artikel Crisis On Infinite Earths. Jika saya tulis panjang lagi, ia akan menjadi satu beberan dan tidak seronok untuk tonton. Rentas siri Arrowverse, Crisis On Infinite Earths sudah pun mula disiarkan pada hari ini. Ia bermula dengan Supergirl dan dua lagi episod dari siri TV lain pada Disember 2019. Kemudian, dua episod terakhir akan bersambung pada Januari 2020. Secara jumlah akan ada lima episod dan sekitar 5 jam, untuk Crisis On Infinite Earths.

Bagi yang berminat, gunakan sahaj VPN premium dan tonton di aplikasi atau laman web rasmi The CW.


TIPS & ULASAN