Skip to main content

Sewaktu acara Final Fantasy XIV Fan Festival yang berlangsung di Tokyo pada hujung minggu yang lepas, pihak Square Enix telah memperlihatkan video acah terbaru untuk penambahan kepada permainan MMORPG mereka, Final Fantasy XIV, yang dinamakan Shadowbringers.

Melalui video acah tersebut, sedikit penceritaan mengenai penambahan tersebut diperlihatkan, yang merupakan sambungan kelima kepada permainanan MMORPG tersebut, termasuklah watak, kawasan dan musuh-musuh terbaru.

Sebelum ini, mereka telah memperlihatkan “pekerjaan” Gunbreaker, iaitu peranan tank dimana pemain perlu menarik pandangan musuh supaya mereka tidak menyerang watak-watak lain. Melalui video acah ini, sebuah peranan DPS baru diperkenalkan, iaitu Dancer, seorang watak DPS jarak jauh yang menggunakan chakram sebagai senjata.

Acara Fan Festival terbaru ini juga memperlihatkan bahawa watak utama permainan ini, iaitu Warrior of Light akan ke dimensi lain yang dipanggil The First, dimana anda akan ke sebuah kawasan yang dinamakan Norvrandt untuk mengembalikan kegelapan sebagai Warrior of Darkness kerana dunia tersebut dipenuhi cahaya yang terlalu banyak yang menyebabkan ketidakseimbangan diantara kedua-dua elemen tersebut.

Penambahan Final Fantasy XIV Shadowbringers akan tiba untuk platform-platform PC dan Sony PlayStation 4 pada 2 Julai 2019 kelak, manakala akses awal untuk pemain-pemain yang pra-tempah permainan ini akan hadir pada 28 Jun 2019.

Leave a Reply