Bagi mereka yang mengikuti perkembangan teknologi kad grafik, diantara permainan-permainan komputer pertama yang ditunjukkan kebolehan ray-tracing dan DLSS (Deep Learning Super Sampling) yang pertama ialah Shadow of The Tomb Raider.
Sayangnya, sejak pelancaran kad-kad grafik siri RTX oleh NVIDIA, permainan tersebut tidak menerima sebarang berita mengenai bilakah kemaskini tersebut akan hadir. Akan tetapi, semua itu berubah pada hari ini, kerana pihak Square-Enix telahpun mengeluarkan kemaskini yang membolehkan permainan tersebut menggunakan ciri-ciri grafik terbaru daripada NVIDIA.
Menurut laporan kemaskini yang dikeluarkan, ciri Ray-tracing untuk Shadow of The Tomb Raider hadir dengan tiga tetapan, termasuklah Medium, High dan Ultra.
Pada tetapan Medium, permainan tersebut akan menunjukkan bayang-bayang pada beberapa titik cahaya sahaja. Pada tetapan High, permainan tersebut akan secara langsung menggantikan pemetaan bayang-bayang tradisional dengan Ray-tracing.
Melalui tetapan Ultra pula adalah untuk mereka yang mempunyai komputer yang hadir dengan satu atau dua kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Ti. Tetapan ini akan memberi anda kualiti grafik dengan Ray-tracing yang terbaik, tetapi akan menyebabkan prestasi gaming anda turun dengan mendadak.
Menurut Square-Enix, kemaskini ciri RTX dan DLSS untuk Shadow of The Tomb Raider ini boleh dimuat turun untuk permainan versi komputer hari ini.