Hari ini, The Pokemon Company akhirnya mengumumkan bahawa permainan Detective Pikachu yang sebelum ini dilancarkan secara esklusif di pasaran Jepun pada 2016 lepas, bakal tiba secara global bermula 23 Mac 2018 ini. Menurut Nintendo, permainan tersebut akan dilancarkan secara fizikal dan juga digital di Nintendo 3DS.

Permainan Detective Pikachu merupakan permainan penyiasatan yang mana pemain akan mengawal seekor Detektif Pikachu yang akan berkerjasama bersama manusia yang bernama Tim Goodman. Menariknya juga, Detektif Pikachu tersebut berupaya untuk berkomunikasi bersama Tim Goodmon dan pemain perlu bekerjasama dan mengembara sesama untuk menyelesaikan misteri yang terdapat di dalam permainan tersebut.

Selain itu, Nintendo juga mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan Amiibo detektif Pikachu khas yang merupakan edisi lebih besar dengan saiz 13.6cm. Amiibo tersebut akan dilancarkan bersama permainan tersebut yang mana pemain boleh gunakan Amiibo tersebut untuk membuka video pendek yang akan membantu dan memberi petunjuk kepada pemain ketika pemain bermain permainan tersebut.

Nintendo juga tidak berhenti setakat itu, yang mana pada masa yang sama mereka juga mengumum konsol mudah-alih New Nintendo 2DS XL edisi Pikachu akan dilancarkan secara global pada 26 Januari ini. Ia akan berharga $159.99(~RM635) dan akan menyertakan rekaan khas Pikachu dengan warna kuning bersama penutup skrin bermuka Pikachu.

Bagi mereka yang meminati Pokemon, terutamanya Pikachu, ini merupakan edisi 2DS XL yang perlu anda dapatkan bersama-sama permainan Detective Pikachu yang bakal tiba 23 Mac ini.

Sohor Kini