Skip to main content

Jika anda masih lagi mempunyai koleksi katrij-katrij permainan Nintendo Game Boy, anda mungkin akan berminat dengan produk terbaru oleh Hyperkin iaitu Ultra GB yang mana ia merupakan konsol mudah-alih berdasarkan Nintendo Game Boy.

Ketika acara CES 2018 yang berlangsung minggu ini, Hyperkin mengumumkan prototaip konsol mudah-alih terbaru mereka iaitu Ultra GB yang mana ia berupaya untuk bermain katrij asal Nintendo Game Boy.

Menariknya juga, rekaan Ultra GB juga mempunyai rekaan seakan Game Boy Pocket dengan dilengkapi badan binaan aluminium dan skrin. Butang kawalan juga dikekalkan dengan rekaan yang sama bersama kawalan suara dan juga butang kuasa. Hyperkin juga menyatakan apabila ia dilancarkan kelak, skrin Ultra GB akan dibina dengan nyalaan RGB.

Menurut Hyperkin, prototaip yang disediakan tersebut terbina dengan picu kuasa DC, namun apabila ia dilancarkan kelak, Ultra GB akan berupaya untuk dicas melalui kabel USB-C. Tambahan juga Hyperkin juga menaik-taraf dari segi audio kepada audio stereo bersama picu kabel link yang membolehkan Ultra GB untuk dimainkan secara multi-pemain seperti konsol klasik Game Boy dahulu.

Buat masa sekarang, Hyperkin tidak berkongsi sebarang tarikh pelancaran mahupun harga konsol mudah alih tersebut. Namun dengan pelancaran Ultra GB, ini akan menarik minat penggemar permainan video diluar sana yang masih lagi mempunyai katrij asli Game Boy dan berminat untuk menyelami semula permainan klasik Game Boy seperti Pokemon dan Legend of Zelda.

Leave a Reply