Skip to main content

Hellboy adalah manusia separa-setan dari Neraka yang diseru oleh Nazi untuk ke bumi. Hellboy diseru pada zaman perang dunia kedua. Nama asal Hellboy adalah Anung Un Rama dan sewaktu tiba di bumi, Hellboy hadir dalam bentuk seorang bayi. Tetapi sebelum pihak Nazi temui Hellboy, Hellboy ditemui oleh Angakatan Bersekutu dan dijaga oleh Profesor Trever Broom. Sekian masa berlalu, Hellboy membesar dan berkulit merah. Tangan kanannya diperbuat daripada batu dan bersaiz besar. Tangan ini turut mempunyai nama tersendiri iaitu Right Hand of Doom. Tanduk setannya pula tumbuh panjang dan Hellboy patahkannya atas sebab-sebab yang tertentu.

Hari ini, video acah untuk filem olahan semula Hellboy telah diterbitkan. Hellboy dilakonkan oleh David Harbour yang terkenal dengan lakonan beliau dalam siri Netflix – Stranger Things. Kemudian watak Profesor Trevor Broom dilakonkan oleh Ian McShane yang pernah kita lihat dalam John Wick. Berdasarkan video acah, filem ini dilihat adalah lebih ganas dan dasyat – walaupun ada banyak elemen komedi. Menurut pengarah, Neill Marshal (juga pengarah untuk Game of Thrones) – filem ini adalah dari perspektif beliau sendiri tetapi jalan ceritanya masih lagi mengikut komik asal.

Agak janggal untuk lihat David Harbour sebagai Hellboy. Sebelum ini watak Hellboy dibawa oleh Ron Perlman untuk filem Hellboy (2004) dan Hellboy 2: The Golden Army (2008). Senarai watak lain dilihat agak berbeza dengan filem Hellboy yang sebelumnya. Bagaimana prestasi David Harbour dalam filem ini dan bagaimana hasil arahan Neill Marshall untuk Hellboy (2019), sama-sama kita nantikan tayangannya pada 12 April 2019 kelak.

Leave a Reply