Informasi Permainan Video Terkini
Netflix Memperkenalkan Lima Anime Baharu Melalui Siri Originals – Termasuk Pacific Rim Dan Altered Carbon

Netflix Memperkenalkan Lima Anime Baharu Melalui Siri Originals – Termasuk Pacific Rim Dan Altered Carbon

Diterbitkan pada November 8, 2018 oleh .

Sejak tahun lepas, Netflix dilihat sangat agresif di dalam mencipta siri-siri animasi baru yang berasaskan animasi barat dan timur, melalui tajuk-tajuk seperti Godzilla, Castlevania, The Dragon Prince dan Neo Yokio.

Hari ini, di acara See What’s Next: Asia yang sedang berlangsung di Singapura, pihak Netflix mengumumkan bahawa mereka akan hadir dengan lima tajuk anime baru dibawah jenama Netflix Originals.

Kelima-lima tajuk anime ini termasuklah Pacific Rim, Altered Carbon, Cagaster of an Insect Cage, Yasuke dan juga Trese. Dua daripada tajuk ini, iaitu Pacific Rim dan Altered Carbon adalah siri animasi yang direka berdasarkan siri filem dan televisyen yang sudahpun hadir sebelum ini.

Pacific Rim masih hadir dengan adegan aksi robot berlawan dengan raksasa (kaiju), manakala Altered Carbon pula, yang hadir di dalam dunia penceritaan yang sama dengan siri televisyen akan hadir dengan jalan cerita baru yang merungkai misteri-misteri lain di dalam siri tersebut.

Cerita untuk anime Altered Carbon ini dipena oleh Dai Sato, nama yang cukup popular di kalangan peminat anime kerana penceritaan menarik untuk tajuk-tajuk anime legenda seperti Cowboy Bebop dan Samurai Champloo.

Cagaster of an Insect Cage pula ialah tentang penyakit misteri yang dinamakan Cagaster yang menukar manusia menjadi serangga gergasi yang membunuh orang lain. Jalan ceritanya mengikuti pasangan muda yang sedang berusaha untuk bertahan hidup. Anime ini diarahkan oleh Koichi Chigira yang turut mengarah tajuk-tajuk popular seperti Last Exile dan Full Metal Panic. Studio animasi yang bertanggungjawab untuk menganimasi siri ini pula ialah Gonzo, yang terkenal untuk tajuk-tajuk anime seperti Hellsing, Vandread dan Last Exile.

Yasuke pula bercerita mengenai zaman perang feudal Jepun yang juga hadir dengan robot dan magis, dan bercerita mengenai seorang ronin yang harus melindungi seorang budak yang hendak dibunuh oleh sekumpulan orang jahat. Anime ini diarah oleh LeSean Thomas dan akan di animasi oleh Studio Mappa yang dikenali untuk anime Yuri! On Ice dan Ushio & Tora.

Trese merupakan sebuah anime yang sedikit berlainan, oleh kerana latar belakang cerita ini yang berdasarkan makhluk mitos negara Filipina yang hidup bersembunyi di kalangan manusia. Anime ini dicipta berdasarkan novel grafik dengan nama yang sama oleh Budiette Tan dan Kajo Baldissimo, dan akan dianimasi oleh BASE Entertainment yang berdasar di Jakarta dan Singapura.

Buat masa ini, pihak Netflix masih belum mengumumkan lagi bilakah siri-siri animasi ini akan tiba di perkhidmatan penstriman tersebut, tetapi terdapat kebarangkalian besar ini adalah sebahagian daripada siri animasi Netflix Originals untuk tahun 2019.


TIPS & ULASAN