Lenovo Malaysia hari ini telah memperkenalkan sebuah lagi komputer riba baru dibawah jenama Legion yang ditujukan kepada peminat permainan video, iaitu Legion Y530. Komputer riba ini hadir dengan spesifikasi mesra permainan video dan multimedia, tetapi pada harga yang kompetitif.
Legion Y530 hadir dengan skrin bersaiz 15.6-inci dengan paparan resolusi 1920×1080 pixel, dilengkapi kadar segar semula sehingga 144Hz. Ia hadir dijana dengan cip Intel Core generasi ke-8 dalam pilihan i7 dan i5, kad grafik dengan pilihan GTX 1050 dan GTX 1050 Ti, sokongan memori sehingga 32GB DDR4 RAM, dan sokongan storan berasaskan SSD sehingga 512GB + HDD sehingga 2TB.
Dengan fokus untuk permainan video, komputer riba ini turut hadir dengan sokongan penyejukkan yang baik = sekaligus menawarkan sokongan pemprosesan dan operasi yang lancar untuk jangka masa panjang.
Lenovo turut mengatakan yang mana mereka mengambil kira pelbagai maklumbalas pengguna dalam merekabentuk komputer riba dibawah jenama Legion, termasuk ia kini lebih menawarkan rekaan moden, tidak begitu berat dan tebal – serta membawakan rekaan yang lebih moden. Ini sekaligus menjadikan komputer riba ini turut mesra untuk kegunaan kerja dan sebagainya.
Di Malaysia, model dengan kad grafik GTX 1050 boleh didapati pada harga RM3598, sementara model dengan GTX 1050 Ti pula boleh didapati pada harga RM5216. Pengguna yang membuat pembelian secara atas-talian turut boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM200 dengan menggunakan kod AUG18.