Overcooked! 2 kini kembali dengan permainan sekuel kepada Overcooked! pertama yang dilancarkan 2016 lepas dimana ia merupakan salah satu permainan koperasi yang sangat mengasyikkan.

Permainan simulasi masakan ini sememangnya mempunyai premis yang ringkas iaitu anda hanya perlu masak mengikut pesanan pelanggan, dan menghantarkannya kepada mereka tanpa sebarang masalah.

Namun, di dalam dunia Overcooked, memasak bukanlah sesuatu yang ringkas. Bukan sahaja anda perlu bekerjasama dengan pemain kedua malah setiap keadaan dapur ketika anda memasak, mempunyai pelbagai cabaran yang pasti akan menguji kesabaran anda.

Ini kerana, setiap peringkat dapur yang dimainkan di dalam permainan ini, memerlukan dua chef untuk mengedalinya. Sekaligus, ini merupakan permainan berbentuk koperasi dimana pemain perlu bermain secara berdua atau lebih untuk menyelesaikan sesuatu peringkat. Namun, permainan ini juga boleh dimainkan secara berseorangan dimana pemain berupaya untuk menukar watak chef dan bergilir-gilir mengawal dua chef pada masa yang sama.

Kini, Team17 akhirnya melancarkan sekuel permainan tersebut, iaitu Overcooked! 2 di konsol Playstation 4, Xbox One, Switch dan juga PC pada 7 Ogos 2018 lepas dan berikut adalah pendapat kami berkenaan permainan ini.

Cerita

Dari segi penceritaan, tak banyak yang kami boleh katakan berkenaannya memandangkan ianya masih lagi mempunyai penceritaan yang ringkas dimana permainan ini bukanlah permainan yang memfokuskan naratif.

Seperti permainan sebelum ini, Onion Kingdom iaitu negara yang dibawah perintah “Raja Bawang” bersama anjing beliau Kevin, dimana kali ini, raja tersebut secara tidak sengaja menghidupkan semula mayat hidup, zombi roti ataupun “Unbread” yang mana zombi-zombi tersebut bakal membawa bencana buat negara tersebut.

Kali ini, sekali lagi pemain perlu menyelamatkan negara tersebut dengan memasak dimana pemain perlu menghantar makanan yang dipesan oleh zombi tersebut. Namun untuk mencapai tahap tersebut, pemain akan berlatih di seluruh negara untuk menjadi chef yang hebat dan perlu belajar pelbagai jenis resepi.

Sememangnya penceritaan Overcooked! 2 agak ringkas, namun ianya juga adalah kerana permainan ini lebih memfokuskan bentuk permainan parti berbanding penceritaan. Namun, penyertaan penceritaan di dalam permainan ini sememangnya sesuatu yang bagus dan pada masa yang sama ianya agak kelakar. Dari bermulanya saya menghadapi cabaran-cabaran pada awal permainan, sehinggalah ketika saya menyelesaikan misi terakhir permainan ini, penceritaannya yang ringkas membuahkan satu hasil yang memuaskan.

Namun begitu, jika anda ingin bermain permainan ini dan mengharapkan satu pengalaman penceritaan solo yang bertaraf tinggi seperti permainan lain, anda mungkin akan kecewa memandangkan permainan tidaklah mempunyai sebarang penceritaan yang mendalam.

Grafik

Jika ingin saya bandingkan dengan permainan Overcooked! sebelum ini dari segi grafik, pada pendapat saya sendirinya permainan Overcooked! 2 kali ini tidaklah mempunyai sebarang perbezaan grafik yang berbeza.

Ghost Town Game, iaitu pembangun permainan ini masih lagi mengekalkan visual grafik yang sama dan ianya bukanlah sesuatu yang buruk, memandangkan bentuk permainan ini sangat ringkas, sekaligus visual grafiknya sangatlah sesuai dengan arah seni permainan ini.

Dari segi rekaan watak juga, permainan ini memaparkan hasil kualiti yang baik sekali. Melalui Overcooked! 2 kali ini, terdapat pelbagai chef-chef yang pemain boleh pilih untuk bermain dan setiap rekaannya sangat unik. Sememangnya setiap chef tersebut tidak memberi sebarang perbezaan dari segi bentuk permainan, namun dengan pelbagai pilihan rupa watak chef, ianya sesuatu yang harus dipuji buat pembangun.

Namun, apa yang agak mengecewakan saya adalah prestasi permainan ini, iaitu skrin pemuatan yang agak kerap dan lama. Saya bermain permainan ini di konsol Nintendo Switch, dan setiap kali saya nak mula bermain di sesesuatu peringkat, permainan tersebut akan mula memasuki skrin pemuatan dan ianya agak lama, dimana terdapat sebahagian permainan, ia mengambil masa hampir 30 saat. Sememangnya ianya tidak mencapai berminit, namun dengan kerap kalinya berlaku, ianya agak mengjengkelkan dan merosakkan kelancaran permainan ini.

Audio

Dari segi audio, permainan ini sekali lagi tidak mengecewakan kami yang mana ia mempunyai pelbagai muzik latar yang sangat menarik dan tepat dengan keadaan. Terutamanya ketika sesuatu peringkat masa permainan semakin suntuk, muzik yang dimainkan memberi satu keadaan yang sangat panik ketika saya bermainnya.

Namun, permainan ini masih lagi tidak mempunyai sebarang suara latar dan buat mereka yang ingin mendengar muzik latar secara berasingan, Team17 juga tidak menyertakan sebarang mod pendengaran muzik.

Selain itu, kami juga agak kecewa dimana muzik kesukaan kami dari permainan pertama Overcooked! tidak dibawa ke permainan ini. Akan tetapi, muzik dan audio permainan yang tersedia, sememangnya ia adalah hasil kualiti yang sangat baik sekali dari pembangun.

Kawalan Permainan

Sememangnya perkara asas untuk sesuatu permainan adalah kawalannya dan permainan Overcooked! 2 bagi kami ada sedikit baiknya dan juga buruknya. Namun, ini hanyalah pengalaman ketika saya bermainnya di Nintendo Switch, dan ianya mungkin berbeza mengikut platform lain.

Pertama sekali apa yang saya ingin kongsikan adalah permainan ini boleh dimainkan secara berseorangan. Namun, setiap peringkat yang terdapat di dalam permainan ini, ianya memerlukan kerjasama antara dua chef, sekaligus buat mereka yang ingin bermain secara berseorangan, anda akan mengawal dua chef pada masa yang sama dengan bergilir-gilir menukar chef dengan butang kawalan L/R. Namun, bagi anda yang mempunyai rakan atau teman, permainan ini sememangnya lebih menyeronokkan untuk dimainkan secara multi-pemain dimana ia menyokong sehingga empat pemain secara serentak.

Overcooked! 2 juga mempunyai pelbagai mod permainan seperti mod arked, mod bertempur dan juga mod cerita. Kesemua mod tersebut boleh dimainkan secara multi-pemain ataupun berseorangan kecuali mod bertempur, dimana mod ini memerlukan lebih dari dua pemain.

Buat mod penceritaan, permainan ini menyertakan sebilangan peringkat permainan yang berbeza dimana setiap satunya memerlukan pemain untuk mencapai sesuatu tahap jualan untuk mendapatkan bintang. Tahap jualan tersebut bergantung terhadap hasil prestasi pemain ketika sesi permainan. Sebagai contoh, jika pemain menyelesaikan setiap pesanan pelanggan dengan baik, pemain akan mendapat tip sekaligus meningkatkan lagi jumlah tahap jualan pemain.

Bintang tersebut juga akan digunakan oleh pemain untuk menyah kunci peringkat seterusnya dimana keseluruhan permainan ini mempunyai 40 peringkat bersama-sama dengan peringkat bonus yang pemain boleh dapatkannya dengan mencapai tahap jualan lebih dari tiga bintang.

Pada pendapat saya, mod penceritaan yang disediakan sememangnya mencukupi dan ianya bukan sahaja mempunyai pelbagai jenis bentuk kawasan berbeza, malah setiap peringkat mempunyai rekaan pentas yang sangat unik dan mencabar dan pastinya akan membuat pemain untuk mainkannya berulang kali untuk mendapatkan markah tertinggi. Jika anda pernah bermain permainan Overcooked! sebelum ini, anda pasti mengetahui betapa huru-haranya setiap peringkat permainan di dalam Overcooked!.

Kali ini, peringkat permainan sememangnya ditingkatkan lagi di tahap yang lebih huru-hara dimana terdapat pelbagai bentuk cabaran setiap kali saya memasuki dapur-dapur di dalam permainan ini. Namun, pada masa yang sama cabaran tersebut sememangnya membuat hasil kualiti permainan Overcooked! 2 yang lebih menyeronokkan.

Secara asasnya, permainan Overcooked! adalah ringkas, dimana pemain akan mendapat pesanan daripada pelanggan, dan pemain perlu memasak berdasarkan pesanan yang ditempah di penjuru kiri skrin tersebut.

Melaluinya, terdapat pelbagai resepi baru berbanding permainan sebelum ini seperti Sushi, kek, Pizza dan sebagainya. Menariknya, makanan asas seperti sup bawang atau sup cendawan di dalam permainan pertama tidak disediakan. Namun, resepi tersebut mungkin dibuang kerana ianya terlalu ringkas.

Walaupun begitu, setiap masakan yang pemain perlu lakukan, mempunyai sebilangan peringkat yang berbeza. Contohnya seperti Pasta, pemain perlu merebus pasta terlebih dahulu dan pada masa yang sama pemain juga perlu memotong kelengkapan lain seperti tomato ataupun daging. Selepas itu, pemain perlu memasaknya secara berasingan sebelum menghidangkannya di atas pinggan dan dibawa ke pelanggan.

Jika dilihatkan dengan keterangan di atas, ianya nampak agak ringkas, namun permainan ini akan menyukarkan lagi langkah-langkah memasak tersebut dengan membuat pelbagai halangan dan cabaran di dapur pemain. Seperti contohnya, terdapat satu peringkat dimana pemain perlu memasuki portal khas untuk ke bahagian dapur yang lain kerana dapur memasak berada di kawasan tersebut. Sehabisnya pemain memasak, pemain juga perlu patah balik ke portal untuk kembali mengambil pinggan dan menghidangkannya di kawasan yang berlainan pula.

Walaupun begitu, Ghost Town Game juga kali ini membawa satu fungsi yang baru dimana pemain kini berupaya untuk membaling bahan-bahan masakan. Fungsi ini merupakan fungsi yang baru diperkenalkan dimana fungsi membaling tidak berada di dalam Overcooked! pertama.

Fungsi membaling bahan-bahan di dalam Overcooked! 2 sememangnya mengubah keseluruhan permainan ini. Ianya bukan sahaja memudahkan pemain, malah ianya memberi satu aspek bentuk strategi yang berlainan. Ini kerana, pemain mungkin berada berjauhan di sesuatu kawasan dan untuk menjimatkan masa untuk menghantarkan sesuatu bahan buat pemain kedua, pemain boleh membaling bahan tersebut terus ke pemain kedua ataupun terus membalingkannya ke dalam periuk untuk memasak. Namun, balingan pemain juga memerlukan sasaran yang tepat dan jika pemain tersilap membuat balingan, bahan tersebut mungkin akan terjatuh di luar kawasan permainan.

Walaupun begitu, fungsi balingan tersebut juga mempunyai masalah dimana melaluinya kawalan permainan tersebut, fungsi baling diletakkan di butang kawalan yang sama untuk memotong bahan. Sekaligus, bagi mereka yang tidak biasa dengan kawalan permainan ini, mungkin akan membuat kesilapan dan membaling bahan makanan secara tidak sengaja. Sekaligus ini menghasilkan bentuk kawalan yang agak terhad dan ianya akan memberi kesan terhadap prestasi pemain, terutamanya ketika bermain secara multi-pemain.

Mod Multi-Pemain

Bercakap berkenaan multi-pemain, permainan ini sememangnya dibangunkan khas untuk dimainkan secara multi-pemain. Kali ini, Ghost Town Game menyertakan beberapa fungsi dan mod baru dimana kali ini, pemain berupaya untuk bermain secara atas-talian.

Sebelum ini, permainan pertama Overcooked! hanya membenarkan pemain untuk bermain secara multi-pemain di luar talian, ini sekaligus mengehadkan pemain untuk berada di dalam bilik yang sama dengan bermain di konsol yang sama.

Kini dengan adanya fungsi untuk bermain multi-pemain secara atas-talian, pemain berupaya untuk mengajak rakan-rakan pemain secara atas-talian dan bersama-sama bermain permainan ini. Namun, kedua-dua pemain perlulah memiliki permainan tersebut.

Walaupun begitu, untuk mod multi-pemain bagi konsol Switch, ianya agak mengecewakan memandangkan permainan ini tidak menyokong sebarang fungsi bual suara termasuklah konsol Switch itu sendiri. Sekaligus, untuk berinteraksi dengan pemain lain, pemain hanya boleh melakukan emote yang tersedia. Fungsi ini agak menyukarkan pemain untuk berhubung dengan pemain lain ketika berada di atas-talian kerana permainan ini sangat memerlukan komunikasi yang baik untuk menyelesaikan sesuatu peringkat.

Namun, perkara ini boleh diselesaikan jika pemain menggunakan aplikasi lain seperti di telefon pintar ataupun sebagainya, namun ini hanya boleh digunakan jika pemain bermain bersama rakan sahaja. Jika pemain bermain secara rawak di atas-talian, pemain masih lagi terhad dengan hanya menggunakan fungsi emote sahaja untuk berkomunikasi.

Bagi setiap mod yang tersedia pula, mod penceritaan sememangnya membenarkan pemain untuk bekerjasama secara multi-pemain. Namun, jika pemain bermain secara multi-pemain, permainan ini akan meningkatkan tahap jualan permainan sekaligus akan menyebabkannya lebih sukar.

Sama juga dengan mod arked dan mod bertempur. Melaluinya, pemain berupaya untuk bermain pelbagai jenis peringkat permainan yang tersedia di dalam permainan ini. Pada awal peringkat permainan, pemain akan memilih peringkat kawasan secara rawak dan pemain akan bermain berdasarkan peringkat yang terpilih.

Bagi mod bertempur pula, pemain akan terbahagi kepada dua pasukan dimana setiap pasukan mempunyai pesanan yang berbeza dan pasukan mana yang mempunyai hasil jualan yang tertinggi, pasukan tersebut akan menang.

Kesimpulan

Akhir kata, permainan Overcooked! 2 sememangnya satu permainan yang sangat menarik sekali, ianya bukan sahaja mencabar malah setiap rekaan watak dan peringkat permainan yang dihasilkan oleh Ghost Town Games adalah sangat mengasyikkan sekali.

Tambahan dengan pelbagai mod dan juga fungsi balingan yang baru  bersama resepi dan peringkat baru, permainan ini sememangnya adalah satu permainan sekuel yang baik sekali buat siri Overcooked!.

Namun begitu, bagi anda yang bermain permainan berseorangan, anda mungkin tidak berminat untuk mendapatkan permainan ini memandangkan ianya lebih memfokuskan bentuk permainan parti yang lebih menyerokkan jika dimainkan secara multi-pemain.

Walaupun ia mempunyai mod multi-pemain secara atas-talian, saya sendiri mengesyorkan anda untuk bermain bersama-sama rakan atau teman anda secara multi-pemain luar talian dan ianya pasti akan menguji kesabaran dan persahabatan buat anda sekalian.

Overcooked! 2
Harga: RM159
Satu Permainan Koperasi Yang Akan Menguji Persahabatan Dengan Pelbagai Kandungan
Cerita
7
Bentuk
8
Grafik
8
Audio
9
Multi-Pemain
10
Positif
Sekuel Yang Memuaskan
Permainan Koperasi Yang Mengasyikkan
Negatif
Kawalan Terhad
Skrin Permuatan Yang Kerap
8.4

Sohor Kini