Jika pemain di dalam PUBG berperang sesama sendiri untuk mendapatkan chicken dinner, pembangun PUBG pula masih berperang dengan penipu dan penggodam permainan mereka.
Jika pada Januari lepas mereka telah mengharamkan lebih 1 juta pemain, peperangan mereka tidak berhenti di situ kerana punca masalah masih ada dan penipuan masih berlaku.
Menurut pembangun PUBG Bluehole mereka sedang melakukan segala usaha untuk menghentikan penipuan demi menjadikan PUBG satu permainan yang mesra pemain. Tambah mereka kini PUBG mempunyai sistem sekuriti yang baru yang dapat mengesan penipuan dengan lebih baik.
Mereka juga sedang mendapatkan pelbagai maklumat mengenai penipuan demi mencari punca dan setakat ini mereka mengesahkan pihak berkuasa sudah menahan 15 orang suspek membangun perisian penipuan ini.
Beberapa orang suspek sudah disabitkan bersalah dan didenda hampir $5.1 juta dan ada lagi yang masih disiasat. Bluehole juga menegaskan agar pemain tidak menggunakan perisian penipuan ini bukan kerana ia adalah salah tetapi perisian ini juga ada yang mempunyai kod-kod tidak baik yang mengambil maklumat pemain tanpa pengetahuan.
Bagi kami pemain yang menggunakan perisian penipuan adalah sesuatu perkara yang memalukan. Insaflah.