Permua Harry Potter: Hogwarts Mystery kini telah dilancarkan secara rasmi dengan hasil kerjasama Jam City dan Warner Bros. Interactive. Melalui permua tersebut, pemain akan berpeluang untuk mencipta watak mereka sendiri dan mendaftarkan diri sebagai pelajar sekolah sihir Hogwarts tersebut. Pemain juga berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti sekolah tersebut termasuklah bertemu watak-watak dari dunia Harry Potter.

Pada April lepas, permua ini dilancarkan secara rasmi secara percuma melalui iOS dan Android. Namun, bagi anda yang berminat untuk mengetahui pendapat kami berkenaan permua tersebut, ini adalah ulasan penuh bagi permua Harry Potter: Hogwarts Mystery.

Jalan Cerita

Permua ini menceritakan tentang watak utama yang merupakan pelajar tahun pertama di Hogwarts. Watak utama ini mempunyai seorang abang (Jacob) yang juga merupakan bekas pelajar di Hogwarts. Abangnya hilang selepas diberhentikan sekolah kerana telah melanggar peraturan Hogwarts yang melarang pelajar untuk mencari The Cursed Vaults. Abangnya terlalu obses dengan pencarian harta karun The Cursed Vaults yang tersembunyi di Hogwarts. Ada yang mengatakan bahawa abangnya telah menyumpah Hogwarts dan ramai juga yang beranggapan bahawa abangnya gila akibat terkena sumpahan sendiri. Kisah abangnya ini telah tertulis di akhbar Daily Prophet sekaligus mejadikan watak utama terkenal di kalangan para penghuni di Hogwarts.

Di permulaan permainan ini, anda sebagai watak utama merupakan pelajar tahun pertama di Hogwarts. Di Hogwarts, anda akan berkawan baik dengan Rowan Khanna dan akan berjumpa dengan Merula, seorang pelajar daripada Slytherin. Merula kemudiannya menjadi musuh anda dan membenci anda atas kesalahan yang Jacob telah lakukan. Merula beranggapan bahawa anda berbahaya kepada semua orang sama seperti Jacob.

Latar masa permua ini berlaku sebelum kehadiran Harry Potter ke Hogwarts. Watak Harry Potter telah disebut diawal permainan ini yang mana Professor Dumbledore telah mengumumkan bahawa Harry Potter masih hidup dan selamat. Berdasarkan pengumuman Dumbledore ini, kami beranggapan bahawa latar masa permainan ini adalah sewaktu Harry Potter masih bayi dan sejurus selepas kematian James dan Lily Potter yang telah dibunuh oleh He-Who-Must-Not-be-Named (Voldermort).

Grafik

Bagi pendapat kami, grafik permainan ini boleh dikatakan agak baik untuk sebuah permua. Rekaan watak watak dalam permainan ini juga agak terperinci dan jelas diperlihatkan wataknya. Seperti contoh, watak Professor Dumbledore, Professor McGonagall, Rubeus Hagrid, dan Professor Snape sangat terperinci dimana rekaan watak mereka adalah sama seperti watak nyata dan boleh dikenalpasti walaupun nama wataknya tidak disebut.

Tetapi, animasi untuk permua ini juga tidak banyak digunakan sekaligus menjadikan watak-watak dalam permua ini agak kaku dan sukar untuk kami memberikan pengalaman yang baik. Dari segi grafik kawasan permainan pula, ia sememangnya sama seperti di dalam filem Harry Potter. Bagi anda yang pernah menonton filem ini, anda pasti sudah terbiasa dengan tempat-tempat yang dipaparkan.

Audio

Permua ini kebanyakkannya dihadkan dengan adegan penceritaan perbualan watak utama dengan watak-watak yang lain. Terdapat banyak dialog yang berlaku diantara watak-watak tetapi semuanya hanyalah sekadar tulisan dan tiada suara latar buat watak melainkan suara-suara ekspresi seperti ketawa atau dengusan marah. Sekaligus ini membuatkan permainan ini agak sunyi dan membosankan.

Tambahan pula, muzik latar permainan ini juga bagi kami agak mengecewakan dimana permainan ini tidak mengekalkan muzik latar seperti yang terdapat dalam kebanyakkan filem Harry Potter. Muzik di dalam permua ini tidak menciptakan perasaan epik dan tidak juga akan diingati untuk masa yang lama.

Teknik permainan

Permua Harry Potter Hogwarts Mystery ini boleh dimain dengan paparan mendatar dan boleh dimainkan dengan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja. Di awal permainan, anda perlu menghasilkan watak avatar yang diingini dan meletakkan nama untuk menjadikannya sebagai watak utama dalam permainan ini. Anda boleh memilih bentuk wajah, mata, hidung, dan juga pakaian. Namun, sebilangan tetapan tersebut hanya terhad untuk peringkat-peringkat tertentu sahaja. Dan untuk menyah-kunci sebilangan kandungan lain, anda perlu anda mencapai sesuatu tahap permainan. Selain itu, permua ini juga menyertakan pilihan lain seperti melalui sistem pembelian dimana anda berupaya untuk membeli barangan dengan Coins yang telah dikumpul sepanjang permainan. Diawal permainan ini juga, anda boleh memilih rumah-rumah yang diingin (sama ada Gryffindor, Slytherin, Hufflepuff atau Ravenclaw) dan anda perlu mengumpul markah agar rumah anda sentiasa berada di kedudukan teratas.

Seperti yang kami katakan tadi, permainan ini secara keseluruhannya memfokuskan kepada perbualan antara watak-watak dimana anda hanya perlu menekan sahaja di skrin untuk melihat dialog seterusnya. Perbualan diantara watak tersebut lebih banyak daripada pemberian tugasan dan soalan buat sesi permainan.

Ketika sesi permainan saya, setiap soalan yang dijawab tidak memberi perubahan kepada jalan cerita permainan ini malah permua ini sangatlah mudah dan ringkas dimana anda hanya perlu menyelesaikan tugasan yang diberi dalam tempoh masa yang ditetapkan selain menjawab beberapa soalan untuk menguji kelayakan mereka untuk rumah yang dipilih. Namun, bagi kami tugasan yang diberikan amatlah ringkas dan soalan yang diberikan sangat mudah untuk dijawab sekaligus menjadikan permainan ini tidak mencabar.

Permua ini menggunakan Coins dan Gems sebagai nilai tukaran barang. Penggunaan Coins pada pendapat kami tidaklah begitu memuaskan dimana ia hanya boleh digunakan untuk membeli barangan untuk kostum avatar sahaja.  Gems pula digunakan untuk memenuhkan tenaga dan juga untuk mempercepatkan proses misi sampingan. Anda boleh memilih untuk menunggu untuk beberapa tempoh masa sebelum anda berupaya untuk membuat misi sampingan, ataupun mengguna Gems untuk mempercepatkan proses tersebut. Seperti permua lain, semakin pendek masa menunggu untuk menyelesaikan misi sampingan, semakin sedikit Gems digunakan.

Selain itu, penggunaan Gems untuk memenuhkan tenaga adalah sangat menjengkelkan. Hal ini kerana, untuk memenuhkan tenaga dengan cepat, anda perlu menggunakan Gems. Sekiranya Gems tidak mencukupi, anda perlu membelinya dengan duit nyata melalui sistem mikro-transaksi ataupun menunggu untuk satu tempoh masa yang lama bagi memenuhkan tenaga. Untuk melakukan sebarang misi sampingan, anda memerlukan 16 sehingga 25 tenaga, dan satu tenaga mengambil masa selama 4 minit untuk diisi. Ini bermakna, anda perlu menunggu lebih kurang 1 jam 20 minit untuk memenuhkan tenaga tanpa sebarang pembelian Gems.

Perkara ini sedikit sebanyak mengganggu prestasi permainan kami kerana ia membuatkan kami bermain dalam tempoh yang pendek sahaja dan perlu menunggu untuk tempoh masa yang lama bagi memenuhkan tenaga kembali. Seperti contoh, watak utama boleh ditangkap oleh cengkaman Devil’s Snare selama satu jam untuk menunggu sehingga Energy penuh bagi melepaskan diri. Ini membuatkan pengalaman kami terganggu dan memperlahankan prestasi permainan kami kerana perlu menyelesaikan tugasan untuk beberapa tempoh masa yang telah ditetapkan. Sebagai pemain, kita semestinya mahu membelanjakan wang yang ada untuk membeli kostum untuk watak atau barang barang lain untuk kegunaan yang lebih penting, namun sebaliknya, anda perlu membelanjakan lebih wang untuk membeli Gems bagi mempercepatkan proses untuk memenuhkan tenaga dan bagi pendapat kami, ia amatlah menjengkelkan.

Walaubagaimanapun, permua ini mempunyai cara untuk memenuhkan kembali tenaga tersebut iaitu terdapat satu mini-permainan dimana anda boleh menekan pada tempat-tempat tertentu dan setiap sentuhan bernilai satu tenaga. Namun, mini-permainan ini ianya hanya terhad untuk beberapa tenaga sahaja. Selebihnya, anda perlu menunggu untuk tenaga itu dipenuhkan.

Kesimpulan


Harry Potter Hogwarts Mystery merupakan sebuah permainan mudah alih yang mempunyai penceritaan yang sangat baik. Jalan cerita dan watak yang dibawa adalah sangat terperinci. Permua ini memberi peluang kepada anda untuk merasai pengalaman berada di Hogwarts kerana grafik yang ditunjukkan serta kawasan permainan adalah teliti dan sama seperti yang terdapat di filem Harry Potter. Namun, sistem “tenaga” yang digunakan dalam permua ini telah merencatkan prestasi permainan kami kerana ia akan membuatkan anda untuk menunggu untuk tempoh masa yang lama bagi memenuhkan kembali tenaga tersebut. Sekiranya permainan ini menggunakan Coins untuk membeli Gems yang boleh ditebus bagi memenuhkan tenaga, ianya lebih baik daripada menggunakan duit nyata sekaligus dapat meningkatkan prestasi pemain dalam menyelesaikan tugasan yang diberi.

Permua ini juga bagi kami agak mengecewakan kerana sepanjang permainan ini, tiada bentuk permainan yang betul-betul mencabar fikiran kerana jalan cerita dan permainannya amatlah ringkas dan mudah. Pada awalnya, kami menjangkakan permainan ini akan tertumpu kepada misi mencari kebenaran terhadap kehilangan abang kepada watak utama dan pencarian The Cursed Vaults, namun ternyata jangkaan kami salah kerana ia cuma disebut di awal permainan dan tidak diceritakan secara terperinci apakah yang telah terjadi. Kami juga mengharapkan permua ini mempunyai perlawanan Quidditch dengan pemain-pemain yang lain namun ia agak menghampakan kerana ia tertumpu kepada jalan cerita dan sesi pembelajaran sahaja. Mungkin kita akan dapat melihat permua ini akan ditambah baik pada kemaskini yang akan datang. Kepada pengguna Android dan iOS yang berminat untuk merasai pengalaman berada di Hogwarts, bolehlah memuat turun permua Harry Potter Hogwarts Mystery ini.

Muat-Turun iOS : Harry Potter Hogwarts Mystery

Muat-Turun Android : Harry Potter Hogwarts Mystery

Sohor Kini