GWENT iaitu permainan kad yang asalnya sekadar permainan sampingan di dalam The Witcher 3 dikeluarkan sebagai permainan baru oleh CD Projekt Red pada tahun 2016 secara beta tertutup, beta terbuka pada tahun 2017 dan dijangkakan akan dikeluarkan secara penuh pada tahun 2018.
Walaupun sudah mempunyai pengikut sendiri dan kejohanan e-sukan nampaknya permainan ini makin kurang mendapat sambutan sebab utama yang diperkatakan adalah GWENT makin menjadi permainan yang bosan dan koleksi-koleksi kad yang ada tidak memberikan kepuasan semasa bermain.
Minggu lepas CDPR mengumumkan sebelum pengeluaran GWENT secara penuh mereka akan mengambil masa 6 bulan untuk membangunkan semula permainan ini yang digelar sebagai GWENT Homecoming. Oleh kerana itu untuk 6 bulan ini mereka akan kurang mengemaskini GWENT yang tersedia. Mereka akan mengeluarkan 2 kemaskni sahaja untuk GWENT sepanjang 6 bulan ini iaitu pada bulan April dan Mei.
Menurut mereka 6 bulan adalah satu masa yang lama akan tetapi mereka menjanjikan selepas 6 bulan permainan ini akan dikeluarkan secara penuh dan kempen solo iaitu Thronebreaker turut akan dikeluarkan bersama.
Kemungkinan besar dengan tiada kemaskini selama 6 bulan, sudah semestinya ramai yang akan mula berhenti bermain tetapi pada pendapat kami, perubahan secara besar-besaran adalah sangat diperlukan kerana GWENT sudah hilang sesuatu yang menjadi penarik berbanding permainan kad yang lain seperti Hearthstone. Kami berharap CDPR berjaya mengembalikan GWENT.