Techland, pembangun disebalik permainan Dying Light, hari ini mengumumkan yang mana mereka akan menawarkan kandungan tambahan untuk permainan berkenaan sepanjang tahun ini dengan lebih 10 kandungan baru untuk permainan tersebut.
Kesemua penambahan DLC berkenaan akan ditawarkan secara percuma untuk pemain di konsol dan PC. Antara kandungan yang akan disertakan adalah termasuk musuh baru, acara permainan baru, misteri baru dan pelbagai lagi.
Dying Light adalah permainan zombie dunia terbuka yang telah dilancarkan pada tahun 2015 lepas. Pada tahun 2016, mereka melancarkan edisi Definitive bersama penambahan The Following. Techland mengatakan kandungan musuh baru ini bakal dilancarkan dalam masa terdekat dan ia merupakan sebahagian daripada kandungan baru yang bakal tiba.
Techland juga menyatakan, permainan Dying Light masih lagi dimainkan oleh sekitar 500,000 pemain secara purata setiap minggu. Sebelum ini mereka ingin menyokong permainan ini hingga hujung 2016 sahaja, tetapi mereka nampaknya akan meneruskan sokongan permainan ini lagi untuk seketika masa lagi.