Informasi Permainan Video Terkini
Kemaskini Xbox One X Buat Permainan The Witcher 3: Wild Hunt Dilancarkan – Menyokong 60FPS

Kemaskini Xbox One X Buat Permainan The Witcher 3: Wild Hunt Dilancarkan – Menyokong 60FPS

Diterbitkan pada Dis 21, 2017 oleh .

Dengan pelancaran Xbox One X pada November lepas, terdapat pelbagai pembangun permainan sudah mula mengambil langkah untuk menggunakan keseluruhan kuasa bagi konsol tersebut. Kini CD Projekt Red akhirnya melancarkan kemaskini terbaru buat The Witcher 3: Wild Hunt buat konsol Xbox One X yang mana kini ia akan menyokong resolusi 4k dan 60FPS.

Melalui kemaskini ini, pemain berpeluang untuk memilih dua jenis mod permainan bagi permainan The Witcher 3: Wild Hunt iaitu antara “4k Mode” dan “Performance Mode”. Di dalam mod permainan 4k, pemain akan berupaya bermain permainan tersebut dengan resolusi 4k bersama 30fps. Manakala mod permainan prestasi akan mengekalkan resolusi permainan tersebut kepada 1080p dengan sokongan 60fps.

Pemain berupaya untuk mengubah mod permainan tersebut melalui tetapan yang terdapat di permainan The Witcher 3: Wild Hunt selepas pemain memuat-turun kemaskini terbaru ini. Pada masa yang sama, CD Projekt Red juga menyertakan sokongan HDR, dan kemaskini visual buat permainan tersebut termasuklah peningkatan visual bayangan dan sebagainya.

The Witcher 3: Wild Hunt merupakan permainan aksi pengembaraan yang dilancarkan pada 2015 lepas di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC. Ia merupakan siri The Witcher terakhir daripada CD Projekt Red dan permainan tersebut memenangi pelbagai anugerah ketika 2015 lepas.