Bersempena pelancaran permainan Street Fighter V: Arcade Edition yang bakal tiba Januari ini, Capcom hari ini berkongsi informasi lanjut berkenaan permainan tersebut terutamanya berkenaan Extra Mode dan perubahan terhadap nilai Fight Money yang pemain boleh dapatkan.

Antara kemaskini yang bakal tiba bersama Street Fighter V: Arcade Edition adalah Extra Mode yang mana kini setiap minggu pemain berpeluang untuk menyertai mod Extra Battle dengan menggunakan Fight Money. Setiap minggu, Capcom menyediakan cabaran yang mana pemain perlu membayar sebanyak 2,500 Fight Money untuk berpeluang mendapatkan kostum tambahan Extra Battle. Pemain perlu melengkapkan cabaran tersebut sebanyak empat kali untuk mendapat ganjaran sebilangan kostum yang tersedia setiap bulan.

Antara kostum yang disediakan adalah kostum Viewtiful Joe daripada siri Viewtiful Joe buat watak Rashid. Charlie dan Sakura juga bakal mendapat kostum khas yang berdasarkan siri-siri permainan Capcom yang lain.

Selain itu, pemain juga boleh melihat kesemua kostum-kostum bagi setiap watak di dalam permainan tersebut disamping boleh menontonnya dahulu sebelum membuat sebarang pembelian.

Antara kemaskini yang paling besar adalah Capcom akan mengubah nilai bagi Fight Money yang boleh diperoleh di dalam permainan tersebut. Bermula 16 Januari ini, pemain tidak lagi akan memperoleh sebarang Fight Money melalui permainan penceritaan utama permainan Street Fighter V termasuk lah mod-mod Trials, Survival dan Demonstration. Namun bagi mereka yang masih belum menghabiskan lagi mod-mod tersebut, anda boleh menghabiskannya sebelum 16 Januari ini untuk mendapatkan kesemua Fight Money.

Bermula 16 Januari ini, pemain berupaya untuk mendapatkan Fight Money dengan setiap kali peningkatan taraf watak menerusi bermain melalui penceritaan watak.

Street Fighter V: Arcade Edition akan dilancarkan di konsol Playstation 4 dan PC pada 16 Januari 2018. Bagi mereka yang mempunyai permainan teras Street Fighter V, kemaskini Arcade Edition ini akan disertakan bersama sebagai kemaskini percuma.

Sohor Kini