Skip to main content

Permainan lama yang dipernambah-baikkan bukan sesuatu yang asing untuk industri permainan video. Bahkan syarikat pembangun permainan seperti Square-Enix, Capcom dan juga Sony sering melancarkan permainan-permainan yang dipernambah-baikkan, dari segi HD, mengubah-suai permainan dari segi audio visual dan sebagainya.

Antara permainan yang baru dilancarkan tahun ini, Crash Bandicoot N.Sane Trilogy yang mengandungi tiga permainan dari siri Crash Bandicoot, Crash Bandicoot 2: Cortex Strikes Back dan Crash Bandicoot 3: Warped. Vicarious Visions dan Activision, pembangun permainan tersebut membuat penambah-baikkan dari segi audio visual dan mengekalkan bentuk permainan Crash Bandicoot. Bagi peminat permainan tersebut, ia merupakan satu berita gembira dimana pemain kini berupaya untuk bermain semula siri Crash Bandicoot di konsol Playstation 4 di dalam visual yang lebih cantik.

Tahun lepas ketika Playstation Experience 2016, Sony juga mengumumkan permainan Locoroco, Parappa The Rapper, Wipeout dan Patapon bakal tiba di konsol Playstation 4 dalam bentuk penambah-baikkan ke definisi tinggi(HD).

Kami di Aksiz berkesempatan untuk bermain Locoroco Remastered di konsol Playstation 4 dan sangat kecewa dari segi produksi permainan tersebut. Locoroco merupakan permainan yang dilancarkan di PSP pada tahun 2006. Salah satu penyebab kekecewaan kami terhadap permainan ini adalah Locoroco Remastered hanyalah permainan yang diterjemah secara langsung ke HD tanpa apa-apa kemaskini kecuali resolusi sahaja. Adegan di dalam permainan Locoroco Remastered pula masih lagi dalam bentuk resolusi yang lama, dan menyebabkan adegan permainan tersebut menjadi sangat pixelated.

Selain dari Sony, Nintendo juga tahun ni melancarkan permainan pernambah-baikkan seperti Mario Kart 8 Deluxe di Nintendo Switch. Permainan tersebut merangkumi kesemua DLC tambahan dari konsol Nintendo Wii U yang hanyalah dilancarkan pada tahun 2014.

Dan tidak dilupakan juga, Super Mario All Star yang dilancarkan SNES merupakan permainan kompilasi pernambah-baikan siri permainan Super Mario Bros 1, 2, 3 dan Lost Level yang dahulunya dilancarkan di NES pada tahun 1993. Menariknya juga, Nintendo juga melancarkan semula permainan ini pada 2010 lepas di konsol Nintendo Wii.

Pembangun permainan yang lain seperti Warner Bros, juga mengeluarkan Batman: Returns To Arkham dimana ia adalah sebuah permainan koleksi Batman Arkham Asylum dan Batman Arkham City. Permainan tersebut diberi pernambah-baikkan dari segi visual dan resolusi. Tetapi ia mendapat kritikkan berkenaan framerate yang masih lagi di tahap 30FPS.

Tidak dilupakan juga siri permainan penambah-baikkan dari Square-Enix, iaitu permainan Kingdom Hearts HD 1.5 Remix dan Kingdom Hearts HD 2.5 Remix, ia dilancarkan bukan sahaja di Playstation 3 pada tahun 2014 ini, malah pada tahun ini, Square-Enix melancarkan sekali lagi permainan Kingdom Hearts tersebut, digabungkan menjadi Kingdom Hearts HD 1.5+2.5 Remix di konsol Playstation 4.

Terdapat pelbagai lagi permainan yang dipernambah-baikkan samada sudah dilancarkan, mahupun masih belum dilancar. Jika ingin kami menyenaraikan kesemua, mungkin artikel ini akan menjadi terlalu panjang. Walaubagaimana pun, perkara yang ingin kami bincangkan adalah adakah kita mendapat terlalu banyak permainan yang dipernambah-baikkan? Mungkin bagi sebahagian peminat, ada yang bersetuju, ada yang tidak. Disini kami ingin menyenaraikan beberapa kebaikkan dan juga keburukkan permainan yang dipertambah-baikkan.

Memberi Nafas Baru Untuk Permainan Klasik

Kebaikkan pertama yang kami ingin tekankan adalah permainan yang dipernambah-baikkan, boleh memberi nafas yang baru kepada permainan tersebut. Contohnya antara permainan yang diberi pernambah-baikkan untuk pemain ialah Crash Bandicoot Nsane Trilogy. Seperti yang anda tahu, permainan Crash Bandicoot dilancarkan lebih dari 20 tahun lalu. Pada 1996, Crash Bandicoot pertama dilancarkan di Playstation 1 dan merupakan permainan klasik yang menjadi salah satu icon untuk permainan siri Platformer buat Playstation 1. Kini, Vicarious Vision dan Activision telah melancarkan pernambah-baik permainan ini di Playstation 4 dengan menambah-baikkan dari segi visual dan mengekalkan bentuk permainan yang sama. Dengan ini, ia memberi peluang untuk pemain baru untuk bermain permainan tersebut secara asli tanpa sebarang perubahan yang melampau dari segi bentuk permainan dan pengalaman.

Mendapatkan Sokongan Dari Peminat

Seperti yang anda tahu, proses pembangunan permainan memerlukan kos yang tinggi. Selain pilihan untuk membuat crowdfunding seperti Kickstarter atau Indiegogo, pembangun dan pengeluar permainan video perlu memastikan mereka mendapat sokongan peminat untuk mengeluarkan sesuatu permainan. Seperti contoh, siri permainan Shenmue III yang sebelum ini diumumkan sebagai permainan crowdfunding di Kickstarter. Dengan hasil dana yang dikumpul melebih $6 juta, ia mendapat sokongon peminat yang sangat memberansangkan, sekaligus baru-baru ini tertiris berita berkenaan siri Shenmue I dan Shenmue II bakal dipernambah-baikkan oleh Sega. Walaupun ia hanyalah khabar angin, tetapi ia masih lagi memberi impak yang besar terhadap pembangun dengan bantuan peminat yang ramai. Ini menunjukkan pembangun permainan sememangnya perlu sokongon peminat permainan untuk mengeluarkan permainan klasik yang akan dipernambah-baikkan.

Kurang Permainan Yang Terbaru

Walaupun terdapat beberapa kebaikkan, keburukan untuk siri permainan pernambah-baikkan masih ada. Bagi kami, ia juga memberi kesan negatif dari segi kepelbagaian permainan. Ia mungkin bukan sesuatu yang memberi impak yang tinggi, tetapi apabila terdapat terlampau banyak permainan yang dipernambah-baikkan, ia menghasilkan kesan yang buruk. Contohnya, Deadpool yang dipernambah-baikkan dari siri generasi konsol Playstation 3 ke Playstation 4. Secara jujurnya, permainan Deadpool tidaklah sesuatu permainan yang bagus. Permainan Deadpool dilancarkan pada tahun 2013 di Playstation 3, Xbox 360 dan PC. Pada November 2015, Activision melancarkan sekali lagi permainan Deadpool dan tidak membuat sebarang pernambah-baikkan utama, hanya dari 720p ke 1080p. Sememangnya, permainan Deadpool dilancarkan sekali lagi di konsol generasi kini disebabkan pelancaran filem Deadpool yang ditayang ketika awal 2016. Tetapi tindakan ini hanyalah sekadar pembangun mencuba untuk mengeluarkan permainan tanpa apa-apa pembaikkan untuk mendapat keuntungan dengan cepat. Capcom juga tahun lepas melancarkan permainan Resident Evil 4, 5, 6 dan juga siri Dead Rising secara pernambah-baikkan dan menjual permainan tersebut secara berasingan. Ia mendapat beberapa kritikkan peminat kerana Capcom hanyalah melancarkan permainan tersebut hanyalah dari generasi sebelumnya tanpa pernambah-baikkan utama dilakukan terhadap permainan tersebut. 

Perlu Membeli Permainan Berulang-kali

Bagi peminat siri The Elder Scrolls, The Elder Scrolls V: Skyrim merupakan siri permainan yang sangat terkenal dengan permainan dunia terbuka RPG. Ia dilancarkan pada tahun 2011 di PS3, Xbox One dan PC oleh Bethesda Softworks. Tahun lepas, pembangun permainan tersebut melancarkan sekali lagi permainan ini edisi Legendary yang merangkumi pernambah-baikkan dan DLC yang dilancarkan di permainan tersebut. Ketika E3 yang lepas, Bethesda sekali lagi melancarkan permainan ini di Playstation VR dan Nintendo Switch. Mungkin bagi peminat siri ini, anda tidak kisah untuk membeli permainan ini berulang kali, tetapi bagi kami ia merupakan satu kerumitan untuk membeli berkali-kali permainan yang sama. Adakah industri permainan video sekarang, pemain perlu membeli sesuatu permainan secara berulang-kali untuk mendapat fungsi-fungsi tambahan dengan harga penuh?

Walaubagaimana pun, ini hanyalah contoh permainan video yang dapat kami berikan. Tidak semua pemain permainan video mempunyai pendapat yang sama. Permainan video sememangnya satu industri kreatif yang sentiasa berkembang. Kami di Aksiz sememangnya peminat siri permainan video dan sentiasa berharap industri ini sentiasa berkembang di pelusuk dunia. Adakah anda bersetuju atau tidak dengan pendapat kami? Anda boleh memberi pendapat anda di ruangan komen dibawah.

Leave a Reply