Permainan Wolfenstein kini kembali setelah pelancaran permainan pertamanya Wolfenstein: The New Order pada 2014 lepas dan mendapat pujian ramai berkenaan bentuk permainannya yang pantas dan berbentuk arked. Wolfenstein II: The New Colossus dibangunkan oleh Machine Games dan dilancarkan oleh Bethesda Softworks. Ia ditempatkan selepas permainan pertama The New Order dimana anda akan bermain sebagai William BJ Blazkowicz selepas beliau mengalahkan Deathsheds.

Permainan ini diumumkan ketika E3 Jun yang lepas dan dilancarkan pada 27 Oktober lepas untuk Playstation 4, Xbox One dan PC. Ia juga dijadualkan untuk dilancarkan di Nintendo Switch pada 2018 kelak.

Cerita

Penceritaan Wolfenstein II: The New Colossus bertempat selepas permainan yang pertamanya, Wolfenstein: The New Order. Selepas William BJ Blazkowicz mengalahkan Deathsheds, beliau hampir ditinggalkan dipulau tersebut, namun pasukan Kreisau Circle berjaya menyelamatkan beliau tetapi BJ koma selama 5 bulan.

Menariknya bagi mereka yang tidak bermain permainan pertama, permainan ini menyediakan paparan penceritaan yang pertama dan juga membenarkan pemain membuat pilihan penceritaan berdasarkan permainan yang pertama dimana pemain diberi pilihan untuk memilih watak sampingan yang akan dibunuh.

Namun, penceritaan permainan Wolfenstein II: The New Colossus agak akan menyeret ketika pertengahan permainan tersebut dimana pemain menghabiskan masa untuk melihat kisah silam watak BJ. Pengakhiran permainan ini juga agak kurang memuaskan dan Machine Games sengaja menghasilkan penceritaan yang tergantung untuk mengumpan pemain kepada permainan ketiga.

Grafik

Dari segi visual grafik permainan ini sememangnya memaparkan hasil visual grafik yang sangat memuaskan dari segi astetik dan juga teknikal. Dari bentuk aksi keganasan yang boleh dilakukan oleh pemain sehinggalah bentuk permainan dalam 60FPS. Setiap pertempuran dan aksi yang dipaparkan memberi kepuasan visual yang sangat memberansangkan seperti keupayaan untuk meletupkan musuh dengan senjata tenaga dan melihat musuh-musuh cair sehingga menjadi abu dengan senjata tersebut.

Rekaan kawasan permainan ini juga memberi impak visual yang sangat besar dari rekaan kapal selam sehinggalah kapal perang. Pemain juga akan menyaksikan pelbagai bentuk rekaan kawasan yang menarik dengan rekaan Nazi ala Steampunk.

Dari segi expressi muka setiap watak juga memaparkan expressi yang sangat meyakinkan setiap watak. Sepanjang permainan ini, setiap trauma watak, adegan yang dipaparkan ia berjaya memberi permainan ini suatu expressi yang nyata.

Audio

Bagi mereka yang pernah bermain Wolfenstein The New Order, anda pasti akan menyukai audio permainan ini kerana muzik di dalam permainan ini memainkan peranan penting. Terutamanya ketika bertempur, setiap muzik gentar, muzik aksi yang dimainkan bergerak secara iring dengan bentuk permainannya yang pantas. Muzik tersebut juga memberi pengalaman permainan yang lebih seronok untuk dimainkan.

Dari segi efek audio, setiap bunyi tembakan yang dihasilkan dengan senjata-senjata permainan ini juga memberi impak yang sangat menakjubkan. Setiap senjata yang digunakan oleh saya memberi efek bunyi yang berlainan. Contohnya seperti senjata kuasa tenaga yang membenarkan saya untuk mencairkan musuh-musuh Nazi tersebut, setiap bunyi efek dan bunyian musuh tersebut cair sangat memuaskan.

Kawalan Permainan

Dari segi kawalan permainan, Wolfenstein II: The New Colossus tidak memberi perbezaan yang banyak berbanding permainan pertamanya. Namun begitu, antara fungsi tambahan yang menarik minat saya adalah keupayaan untuk menaik-taraf senjata dan juga pada pertengahan permainan ini, saya berupaya untuk menaik-taraf kelengkapan watak saya dengan fungsi yang baru seperti keupayaan untuk melonjat naik dengan memanjangkan kaki watak saya. Sekaligus ia mengubah bentuk permainan menjadi lebih menarik dan saya diberi peluang untuk meneroka kawasan permainan tersebut dengan lebih meluas.

Seperti permainan pertama Wolfenstein: The New Order, permainan ini juga menyertakan kawasan pangkalan utama dimana pemain berupaya untuk meneroka dan berinteraksi dengan pelbagai watak-watak lain. Pemain juga berpeluang untuk bermain permainan Wolfenstein 3D klasik di pangkalan tersebut. Selain itu, itu terdapat juga misi sampingan dimana pemain boleh memburu Nazi-Nazi dengan mendapatkan Enigma Code dan menyelesaikan teka-teki untuk menemui sasaran Nazi tersebut.

Seperti permainan penembak pertama yang lain, permainan ini sememangnya memberi kepuasan dari segi bentuk permainan yang pantas dan pada masa yang sama memberi cabaran bagi mereka yang bermain tahap kesukaran yang lebih tinggi. Pemain juga berupaya untuk menggunakan dua senjata pada masa yang sama sekaligus memberi lebih ‘keganasan’ buat bentuk permainan untuk anda berlari masuk ke pangkalan musuh dan membunuh, menembak segala musuh-musuh Nazi dengan penuh rasa kepuasan.

Kesimpulan

Akhir kata, permainan Wolfenstein II: The New Colossus sememangnya merupakan permainan yang sangat menarik. Namun, penceritaannya yang agak kurang menarik dan pengakhiran yang tergantung tambahan tiada mod tambahan seperti mod multi-pemain mungkin akan kurang menarik minat pemain lain untuk membelinya dengan harga penuh.

Namun bagi mereka yang pernah bermain Wolfenstein: The New Order, sememangnya permainan ini tidak begitu banyak perbezaan dari segi bentuk permainan. Ia merupakan permainan penembak yang pantas, ganas dan memuaskan. Terutamanya keupayaan untuk membunuh Nazi-Nazi dengan penuh ganas seperti mencairkan mereka dengan senjata tenaga yang terdapat di dalam permainan ini.

Bagi anda yang menyukai permainan pertama Wolfenstein: The New Order, anda pasti akan menyukai sekuel permainan ini iaitu Wolfenstein II: The New Colossus. Ia sememangnya sebuah lagi permainan Wolfenstein untuk anda hapuskan segala Nazi-Nazi. Namun, bagi anda yang tidak menyukai bentuk permainan penembak pandang pertama yang pantas, saya sarankan anda untuk mengelak daripada bermain permainan ini.

Sohor Kini