Microsoft dan Bluehole akhirnya mengumumkan tarikh pelancaran bagi permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds di Xbox One iaitu pada 12 Disember ini. PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) juga bakal mendapat sokongan HDR dan juga sokongan khas untuk konsol Xbox One X.
Permainan PUBG tersebut bakal dilancarkan sebagai permainan Xbox Game Preview di Xbox One. Bluehole juga menyatakan bahawa mereka bakal menyertakan pek kostum khas bagi pemain Xbox One iaitu PUBG Warrior Pack, PUBG Accessory Pack dan PUBG Tracksuit Pack.
Disamping itu, Bluehole juga menyatakan versi 1.0 permainan PUBG untuk PC juga bakal dilancarkan pada penghujung Disember ini. Kedua-dua versi Xbox One dan PC dibangunkan secara bersama, namun proses pembangunan kedua-dua versi tersebut mempunyai perbezaan dari segi spesifikasi dan tetapan sekaligus kemungkinan terdapat sedikit kelainan dari segi fungsi atas-talian buat permainan PUBG di Xbox One berbanding di PC.
Buat masa ini, Bluehole masih tidak menyatakan sebarang pengumuman berkenaan permainan PUBG bakal tiba di konsol Playstation 4, namun bagi mereka yang ingin bermain permainan tersebut di konsol, anda boleh mula bermainnya pada 12 Disember ini di Xbox One.