Playerunknown’s Battlegrounds sedia mencatatkan beberapa rekod sejak ia dilancarkan pada bulan Mac lepas melalui Early Access di Steam. Terkini, mengikut data daripada Steam, ia dilihat permainan Playerunknown’s Battlegrounds atau yang turut dikenali dengan nama PUBG ini menghampiri angka 2 juta pemain bermain serentak pada sesuatu masa.
Mengikut data hari ini sendiri, Playerunknown’s Battlegrounds memperlihatkan sehingga 1.96 juta pemain bermain serentak. Ia jauh dihadapan berbanding beberapa permainan lain di Steam, termasuk Dota yang hanya mencatatkan sekitar 700k pemain bermain secara serentak.
Dengan perkembangan sihat ini, kita mungkin melihat ia mempunyai jutaan pemain menjelang penghujung tahun ini.
Melalui PUBG, sekitar 100 pemain akan dihimpunkan di sebuah pulau, dan pemain perlu menjadi yang paling terakhir hidup dengan membunuh pemain lain. Konsep permainan ini dikenali sebagai Battle Royale, dan turut telah mula menarik minat beberapa penerbit lain untuk mengikut jejak sama.
Buat masa ini, PUBG hanya ditawarkan di PC sahaja, dan ia bakal ke Xbox One tidak lama lagi. Pembangunnya turut dikatakan sedang dalam perbincangan bersama Sony untuk menawarkannya di PlayStation 4.
Bagi anda sendiri, adakah anda memainkan permainan PUBG ini?