Permainan bergenre visual novel antara bentuk permainan yang sangat terkenal di Jepun. Walaupun tak banyak permainan-permainan visual novel dilancarkan secara global, Atlus dan Spike Chunsoft masih lagi memberi peluang kepada peminat-peminat permainan genre tersebut dengan melancarkan permainan Danganronpa seluruh dunia. Kini siri permainan Danganronpa terbaru oleh mereka, iaitu Danganronpa V3: Killing Harmony kembali di Playstation 4, Playstation Vita dan PC.

Danganronpa V3: Killing Harmony merupakan permainan Danganronpa ke-empat selepas Danganronpa Another Episode: Ultra Despair Girl yang dilancarkan 2014 yang lepas. Permainan ini merupakan kesinambungan selepas siri anime Danganronpa 3 dimana ia memfokuskan permainan pembunuhan yang baru oleh Monokuma dan beliau ditemani dengan Monokuma Kubs.

Cerita

Penceritaan permainan Danganronpa V3: Killing Harmony merupakan aspek utama yang membuat permainan ini sangat menarik. Bagi anda yang baru dengan siri Danganronpa, permainan ini akan meletakkan anda didalam sebuah sekolah dimana anda dipaksa untuk menyertai sebuah permainan pembunuhan dikalangan rakan sekelas anda. Monokuma, guru besar sekolah tersebut akan memaksa pelajar untuk membunuh jika mereka ingin keluar dari sekolah tersebut. Namun, ia tidak semudah itu kerana selepas sahaja berlakunya pembunuhan tersebut, seluruh kelas tersebut akan menyertai mahkamah kelas untuk mencari siapa pembunuh tersebut. Jika pembunuh tersebut ditemui, beliau akan dijatuhkan hukuman, tetapi jika tidak, beliau akan selamat dan dilepaskan dari sekolah tersebut.

Penceritaan Danganronpa V3: Killing Harmony pada pendapat saya ia merupakan puncak penceritaan siri Danganronpa yang sangat menakjubkan. Sepanjang saya bermain permainan ini, saya sendiri terkejut dan teruja dengan penceritaan permainan ini. Namun, saya sangat mengesyorkan anda untuk bermain dahulu permainan Danganronpa Trigger Happy Havoc dan Danganronpa 2: Goodbye Despair malah menonton siri anime Danganronpa 3 Future Arc dan Despair Arc untuk menikmati penceritaan siri Danganronpa sepenuhnya.

Grafik

Dari segi visual grafik pula, permainan ini memaparkan kebanyakkan bentuk permainan dalam bentuk 2D dan ilustrasi. Namun begitu, segala visual dan antara muka yang dipaparkan adalah sangat menarik. Pemain juga berpeluang untuk meneroka sekolah tersebut secara 3D dalam bentuk penembak pandang pertama. Namun begitu, ketika meneroka kawasan sekolah tersebut, ia agak membosankan dengan visual yang dihadkan dimana setiap rekaan kawasan tersebut yang berulangan.

Bagi anda yang sering bermain permainan visual novel, anda pasti sudah biasa dengan bentuk visual seperti permainan ini. Selain daripada ilustrasi yang dipaparkan, anda juga akan ditayangkan dengan pelbagai rekaan watak yang sangat menarik dan juga pelbagai imej-imej ilustrasi yang agak mengganggukan.

Audio

Muzik di dalam permainan Danganronpa V3: Killing Harmony menarik dengan pelbagai jumlah muzik mengikut situasi. Dengan bertemakan kekecewaan dan pembunuhan, muzik permainan Danganronpa sememangnya tidak pernah mengecewakan tambahan dengan sebilangan muzik-muzik baru bersama muzik lama yang diolahkan semula.

Dari segi suara latar pula, saya bermain permainan tersebut dengan suara latar bahasa inggeris dan ia tidak mengecewakan saya. Setiap penyuara latar menyuarakan dengan baik sekali dengan pelbagai dialog yang meyakinkan. Spike Chunsoft juga menyertakan pilihan untuk pemain menggunakan suara latar bahasa Jepun ataupun bahasa Inggeris.

Kawalan Permainan

Permainan ini terbahagi kepada tiga bahagian, sesi harian di sekolah, sesi penyiasatan dan sesi mahkahmah kelas. Ketiga-tiga bahagian tersebut mempunyai bentuk permainan yang berbeza dimana sesi harian di sekolah, pemain akan memfokuskan penceritaan, pemain akan menghabiskan masa untuk bergerak ke satu tempat, berjumpa dengan pelbagai rakan sekelas lain dan juga meluangkan masa bersama untuk tingkatkan nilai hubungan antara watak lain.

Untuk sesi penyiasatan pula, ia akan berlaku setelah terdapatnya pembunuhan, seperti sesi harian di sekolah, pemain masih lagi akan berlegar di kawasan sekolah tersebut untuk menyiasat, dan menemu-ramah rakan sekelas yang lain untuk mencari klu-klu pembunuhan tersebut.

Sesi yang paling utama dan paling menyeronokkan, iaitu sesi mahkahmah kelas dimana pemain akan berdebat bersama rakan sekelas yang lain untuk mencari siapa pembunuhnya. Menariknya didalam sesi ini, permainan ini akan menukar pelbagai bentuk permainan daripada permainan pilihan perlumbaan seperti Crazy Taxi, dan juga permainan mencari bom seperti Mindsweeper. Selain itu, permainan ini juga memberi peluang untuk saya berdebat dengan rakan kelas yang lain dengan membuktikan pelbagai informasi dari hasil penyiasatan dan juga pada akhir perdebatan, ia pemain juga akan menyelesai kes pembunuhan ini dengan cara seakan menyusun sebuah komik. Dengan kepelbagaian bentuk permainan yang disertakan, ia sememangnya sangat seronok dimain dan setiap pembunuhan yang perlu diselesaikan adalah sangat unik dan sememangnya sangat mengejutkan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, bagi saya permainan ini sangat menarik untuk dimain bagi mereka yang menyukai permainan video yang memfokuskan penceritaan. Dengan penceritaan yang sangat unik serta misteri pembunuhan yang sangat mengejutkan. Ia sememangnya sebuah pengakhiran siri permainan Danganronpa yang sangat menyentuh perasaan. Namun begitu, saya mengersyorkan anda untuk bermain dan menghabiskan dahulu siri-siri permainan Danganronpa yang lepas dan juga menonton siri anime Danganronpa 3 sebelum bermain permainan ini.

Danganronpa V3: Killing Harmony dilancarkan 26 September yang lepas di Playstation 4, Playstation Vita dan PC. Anda boleh mendapatkan permainan tersebut melalui mana-mana pengedar rasmi ataupun kedai permainan atas-talian di PSN Store dan Steam.

Sohor Kini