Lanjutan daripada beberapa ketirisan sebelum ini, hari ini Capcom secara rasminya mengumumkan penawaran permainan Okami HD untuk konsol generasi baru, PlayStation 4 dan Xbox One, selain termasuk PC. Ia diumumkan untuk pasaran Jepun sahaja buat masa ini, dan bakal dilancarkan pada 21 Disember untuk konsol, dan 13 Disember untuk PC.
Okami HD ini akan menawarkan bentuk permainan sama seperti permainan asal yang dilancarkan pada 2012 yang lepas – tetapi turut hadir dengan sokongan resolusi 4K, serta penambah-baikkan grafik lain.
Okami adalah permainan yang dilancarkan di Playstation pada 2006 lepas. Ia merupakan permainan yang dibangunkan oleh Clover Studio, terkenal dengan siri permainan Viewtiful Joe. Okami adalah permainan yang menerima pelbagai pujian kerana rekaan visual dan inspirasi tradisi lukisan Jepun yang sangat menawan. Pada tahun 2008, Capcom turut melancarkan Okami di Nintendo Wii dengan sokongan kawalan gerakan untuk mengawal berus Celestial di dalam permainan tersebut. Pada tahun 2012 pula, Capcom juga melancarkan permainan ini dalam bentuk penambah-baikkan HD di PS3. Permainan Okami juga mempunyai sekuel tersendiri iaitu Okamiden yang dilancarkan di Nintendo DS pada tahun 2011.
Buat masa ini, info mengenai penawaran pada peringkat global masih tidak diketahui lagi. Kami di Aksiz akan menawarkan info berkenaan dengannya sebaik sahaja Capcom berkongsi lanjut mengenainya kelak.