22 Ogos yang lepas, Uncharted: The Lost Legacy dilancarkan khas di Playstation 4. Permainan ini dibangunkan oleh Naughty Dog dan merupakan permainan tambahan dari siri permainan Uncharted. Ia meletakkan jalan cerita selepas Uncharted 4: A Thief’s End tetapi tidak memfokuskan watak Nathan Drake, sebaliknya bekas teman wanita beliau, iaitu Chloe Frazer dari Uncharted 2: Among Thieves. Chloe ditemani dengan Nadine Ross, iaitu watak antagonis dari Uncharted 4: A Thief’s End dimana mereka mengembara untuk mencari gading Ganesh di India.

Cerita

Secara jujurnya, Uncharted: The Lost Legacy memaparkan penceritaan yang hampir sama dengan siri-siri Uncharted sebelum ini, ia tidak memberi impak penceritaan yang unik malah tidak memaparkan sesuatu yang baru. Jika ingin dibandingkan dengan siri Uncharted sebelum ini, The Lost Legacy sememangnya bukan siri Uncharted terbaik. Penceritaan Chloe juga tidak dipaparkan dengan baik dan untuk beberapa jam pertama, saya menghadapi kebosanan untuk meneruskan bermain permainan ini kerana jalan ceritanya yang kurang menarik.

Walaubagaimana pun, setelah hampir kemuncak permainan ini barulah penceritaan permainan menjadi lebih menarik dicampur dengan aksi-aksi epik yang dipertayangkan dan juga cameo watak dari siri Uncharted sebelum ini. Perwatakkan antara Chloe dan Nadine juga membuatkan permainan ini menarik bersama skrip dan dialog yang kelakar dan lakonan suara latar yang sangat menakjubkan.

Grafik

Grafik bagi permainan ini sememangnya sangat menakjubkan. Dari eskpresi muka watak, hingga ke permandangan, Uncharted: The Lost Legacy semestinya tidak akan menghampakan anda dari segi grafik. Setiap momen didalam permainan ini adalah seni gambar yang sangat cantik untuk dipertontonkan dan saya sering bermain dengan mod Photo yang disertakan bersama didalam permainan ini untuk menangkap segala gambar-gambar yang sangat cantik.

Eskpresi setiap watak di dalam permainan ini pula sememangnya sangat menakjubkan, tambahan dengan pelakon suara latar yang menakjub, permainan ini hampir berjaya membuat saya fikir watak-watak yang dipermainkan seolah nyata.

Audio

Dari segi audio pula, setiap muzik dan suara latar yang dipertayang sememangnya tidak mengecewakan. Dari bunyi bangunan runtuh, sehinggalah bunyi tembakan, permainan ini memberi audio yang berkualiti tinggi terutamanya bagi mereka yang bermain permainan ini dengan fon kepala yang berkualiti.

Suara latar Chloe dan Nadine juga mempersembah dengan sangat baik sekali, Claudia Black dan Laura Bailey adalah antara pelakon suara latar yang sangat berbakat. Mereka berdua berjaya menghidupkan watak Chloe dan Nadine dengan sangat hebat.

Kawalan Permainan

Dari segi kawalan permainan pula, Uncharted: The Lost Legacy tidak memaparkan banyak perbezaan antara permainan sebelum ini, Uncharted 4: A Thief’s End. Dengan menggunakan bentuk kawalan yang hampir sama, setiap kawalan aksi, penembakkan dan juga memandu di dalam permainan ini adalah sangat baik sekali. Menariknya, ketika awal permainan ini, pemain diletakkan di kawasan separuh dunia terbuka dimana pemain boleh mengembara di beberapa kawasan dan juga mencari koin-koin untuk mendapat barangan tambahan bagi Chloe.

Walaubagaimana pun, seperti siri permainan Uncharted sebelum ini, dari segi bentuk kawalan permainan, kebanyak adegan-adegan aksi yang dipaparkan seolah filem berinteraksi, dimana ia setiap langkah yang dilakukan oleh pemain adalah diskripkan. Ia seolah anda menonton filem dimana anda hanyalah boleh berinteraksi secara minima. Walaupun perlawanan terakhir permainan ini seronok dimainkan, ia tidak memberi cabaran dan kebebasan dari segi bentuk permainan.

Tetapi, teka-teki di dalam permainan ini bagi saya sangat menarik dan sememangnya perlukan masa untuk berfikir. Walaubagaimana ia tidaklah begitu susah dan saya hanyalah perlu mencuba beberapa kali sahaja untuk selesaikannya. Permainan ini juga menambah bentuk permainan yang baru seperti keupayaan Chloe untuk membuka peti atau pintu yang berkunci. Teknik ini juga memberi bentuk permainan yang taktikal dimana pemain perlu mencuri beberapa senjata seperti RPG7 untuk digunakan ketika berlawan dengan musuh sambil pemain perlu menghendap kem musuh.

Mod Multi-Pemain

Mod multi-pemain untuk Uncharted: The Lost Legacy pula adalah sama dengan mod multi-pemain Uncharted 4: A Thief’s End. Malah, ketika saya memilih mod tersebut, permainan ini memuatkan fail mod multi-pemain dari permainan Uncharted 4 dengan segala tetapan dan barangan saya dari permainan tersebut. Ia merangkumi beberapa mod permainan seperti Team Deathmatch, King of Hill dan Ranked Match berserta 14 kawasan bersama watak-watak Uncharted: The Lost Legacy.

Manakala mod terbaru Uncharted 4: Survival pula anda berpeluang untuk menahan diri dari serangan musuh secara berperingkat. Mod ini boleh dimain secara berseorangan ataupun secara multi-pemain bersama pemain lain atas-talian.

Kesimpulan

Kesimpulannya, permainan Uncharted: The Lost Legacy ini hanyalah merupakan kesinambungan dari permainan Uncharted 4: A Thief’s End. Bagi anda yang menyukai permainan Uncharted 4, saya pasti anda akan menyukai The Lost Legacy ini. Bagi anda yang tidak menyukainya, saya sarankan anda untuk elak dari membeli permainan ini.

Secara visualnya, permainan ini sememangnya memaparkan visual yang sangat cantik, tetapi dari segi penceritaan dan tempoh masa permainan, ia sedikit pendek. Saya berjaya habiskan permainan ini dengan hanya 7 jam sahaja. Malah penceritaan permainan ini sememangnya penceritaan Uncharted paling kurang menarik bagi saya.

Bagi mereka yang masih belum bermain siri Uncharted sebelum ini, saya sarankan anda untuk bermain Uncharted 1 hingga 4 dahulu sebelum bermain Uncharted: The Lost Legacy ini.

Uncharted: The Lost Legacy sudah dilancarkan pada 22 Ogos yang lepas dan anda boleh dapatkan sekarang dimana-mana pengedar rasmi Playstation dengan harga RM159 atau anda boleh membelinya secara digital di PSN Store dengan harga RM149.

 

Sohor Kini