Informasi Permainan Video Terkini
Re-Aksiz UIasan – 5 Permua Yang Mudah Dimainkan

Re-Aksiz UIasan – 5 Permua Yang Mudah Dimainkan

Diterbitkan pada Mei 7, 2018 oleh .

Hari ini kami akan berkongsi 5 permua (Permainan Mudah-Alih) yang mudah dimainkan dengan hanya sebelah tangan sahaja. Berikut adalah 5 senarai permua yang kami syorkan.

My Tamagotchi Forever

Pada mereka yang suka akan permua yang comel dan menarik dari segi pemaparan visual grafiknya, anda harus mencuba My Tamagotchi Forever. Permua ini suatu ketika dahulu adalah antara permainan yang harus dimiliki oleh pengguna. Menerusi permua ini, pengguna boleh membela seekor haiwan peliharaan maya di dalam sebuah peranti telefon pintar anda.

Permua yang dibangunkan oleh Bandai Namco ini telah menetapkan 4 elemen penting iaitu dengan memberi ruang kepada pemain untuk bermain, menghidangkan makan, memandikan dan juga memakai pelbagai aksesori kepada haiwan peliharaan maya tersebut. Selain itu, permua ini juga mempunyai pelbagai koleksi karakter Tamagotchi yang berlainan. Akan tetapi, seperti permua-permua lain, permua ini mempunyai system mikro-transaksi dimana pemain diberi pilihan untuk membelinya ataupun tidak. Antara barangan yang dijual adalah aksesori dan juga gem untuk pemain cepatkan sebilangan aktiviti permua tersebut.

Bagi pengguna iOS dan Android, anda boleh muat turun permainan ini di laman Appstore dan Google Play secara percuma. Buat anda, yang suka akan permua yang comel dan gemar membela haiwan peliharaan maya, My Tamagotchi Forever merupakan permua terbaik dan mudah dimainkan.

Muat-Turun iOS : My Tamagotchi Forever

Muat-Turun Android : My Tamagotchi Forever

Jelly Copter

Bagi anda yang pernah bermain Flappy Bird, iaitu salah satu permua yagn sangat terkenal, kini anda berupaya untuk bermain permua yang seakan permua tersebut iaitu Jelly Copter. Jelly Copter mempunyai bentuk permua yang seakan sama seperti Flappy Bird, namun pada pendapat saya, ia lebih teratur dari segi system permua tersebut.

Jelly Copter merupakan permua yang dibangunkan oleh Kiloo, permua ini mula dimainkan sejak awal bulan Mac lagi dan boleh dimuat turun pada peranti Android dan iOS secara percuma. Seperti konsep Flappy Bird, Permua ini mempunyai bentuk permainan yang mudah di mana pemain hanya sekadar perlu menekan skrin telefon pintar anda untuk terus kekal terbang bagi melengkapkan misi yang telah ditetapkan seperti mengumpul sebilangan buah. Namun untuk terus kekal melepasi peringkat permainan, pemain perlu mengelak daripada pelbagai halangan seperti dinding, keju yang berbau busuk serta rintangan daripada musuh.

Apa yang lebih menarik juga, bagi setiap peringkat permainan pengguna akan memperolehi ganjaran permainan seperti aksesori pemain dan rekabentuk helicopter yang baru. Rekabentuk tersebut juga akan berubah mengikut kelebihan dan ganjaran yang diperolehi pemain.

Muat-Turun iOS : Jelly Copter

Muat-Turun Android : Jelly Copter

Alien Path

Alien Path adalah permua yang telah dibangunkan oleh Applexplore. Bagi anda tidak ketahui, permua ini pernah mendapat anugerah selaku permua Teknik Terbaik di IMGA SEA 2017.

Permua ini merupakan kombinasi permainan yang terdiri daripada elemen RPG, teka ria dan penyusunan laluan beserta strategi. Apa yang lebih menyeronokkan adalah sasaran utamanya bagi permua ini adalah pelbagai jenis robot. Seterusnya, grafik serta audio permainan yang dilampirkan mampu menggamit pengguna untuk terus kekal bermain. Melalui permua ini pengguna boleh mengumpul hampir 100 koleksi kad kuasa untuk menaiktarafkan watak pemain bagi setiap peringkat permainan. Manakala, peringkat permainan bagi permua ini dilihat bergantung kepada planet yang pemain tawan.

Berikutan pengalaman kami sendiri sewaktu bermain permua ini, setiap planet mempunyai bilangan peringkat permainan yang berbeza-beza. Sebagai contoh planet Genesis mempunyai 5 peringkat permainan manakala planet Amazonia mempunyai 20 peringkat permainan. Perbezaan peringkat permainan ini, secara tidak langsung menunjukkan kekuatan pemain juga akan berada pada tahap yang berbeza.

Bagi pengguna permua, Alien Path memberikan ruang kepada pemain untuk bermain hanya pada 4 planet pertama sahaja dengan percuma. Untuk 3 planet yang seterusnya, pemain perlu membuat bayaran maya sekiranya pemain ingin melengkapkan permainan ini. Selain koleksi kad kuasa, pemain juga boleh mengumpul pelbagai aksesori permua sewaktu melengkapkan misi permainan. Namun, ada di antara aksesori permainan memerlukan pemain untuk membuat pembayaran. Maka, terpulang kepada pemain untuk memilikinya atau tidak. Permua ini boleh dimuat turun oleh kedua-dua pengguna iOS dan Android.

Muat-Turun iOS : Alien Path

Muat-Turun Android : Alien Path

PongPong Egg

Permua PongPong Egg merupakan permua yang telah dibangunkan oleh Shaking Sheep Studio.

Apa yang menarik adalah sewaktu kami mencuba permua ini di awal permainan, pemain akan diberi arahan yang cukup jelas serta mudah difahami sebelum permulaan permainan. Aplikasi permua ini juga mudah untuk dimainkan oleh pemain dengan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja.

Ini kerana permua ini tidak mempunyai sebarang teknik permainan yang rumit. Pemain hanya perlu menggerakkan jari mereka ke arah kiri atau kanan bagi menentukan fokus utama sasaran objek. Setelah itu, pemain hanya perlu menekan skrin untuk menembak sasaran. Melalui permua ini, tujuannya adalah ringkas dimana pemain akan memilih barangan masakkan seperti cendawan, terung, sayur dan sebagainya.

Permua ini juga mempunyai sebilangan halangan seperti cili dimana jika pemain menembak ke arah cili tersebut, seluruh telur akan terbakar sekaligus pemain tidak akan memperoleh markah permainan. Bagi pengguna iOS, permua ini sudah boleh dimuat-turun secara percuma melalui App Store. Bagi versi Android, ia masih lagi belum dilancarkan dan bakal tiba pada masa akan datang.

Muat-Turun iOS : Pong Pong Egg

PostKnight

PostKnight ini telah dibangunkan oleh Kurechii Studio pada bulan Februari 2017 yang lalu. Permua ini juga telah memenangi anugerah Grand Prix bagi IMGA SEA 2017. Kelebihan yang ada pada permua ini adalah ia merupakan permua yang bergenre aksi pengembaraan dan RPG yang boleh dimainkan dalam saiz skrin telefon pintar anda.

Permua ini mengfokuskan kepada watak pahlawan yang perlu menyelesaikan misi iaitu memenuhi sebilangan misi daripada raja. Bagi setiap misi peringkat permainan, pemain akan diberi arahan tugasan menerusi skrol. Pada setiap peringkat permainan, pemain juga harus melengkapkan diri dengan keperluan ubat ubatan serta peralatan untuk pentempuran dengan musuh.

Aspek halangan pula, pemain perlu bertarung dengan askar beserta haiwan seperti serigala dengan menggunakan pedang dan tembok penghadang. Bagi menambah kekuatan pemain, ubat penawar akan tersedia namun perlu sentiasa diperbaharui untuk pemain terus kekal hidup dalam pentempuran.

Seterusnya, bagi meningkatkan kekuatan, pemain akan diberi ganjaran kelengkapan peralatan permua di akhir misi permainan. Ini bukan sahaja menyebabkan permainan ini lebih sukar untuk dimain, malah ia memberi cabaran yang sangat menyeronokkan.

Apa yang lebih menarik adalah bagi pengguna iOS, permua ini turun dilengkapi dengan ganjaran percuma seperti emoji percuma untuk penggunaan iMessage. Bagi mereka yang suka akan animasi comel sedemikian boleh muat turun di laman Appstore anda sekarang. Permua ini juga boleh dimuat turun oleh pengguna Android pada Google Play.

Muat-Turun iOS : PostKnight

Muat-Turun Android : PostKnight

TIPS & ULASAN