Batwoman musim pertama sudah pun tamat dengan episod ke-20. Ia memperlihatkan watak yang mengejutkan, iaitu kemunculan Bruce Wayne dan siri TV ini terus tamat begitu sahaja. Musim kedua sudah pun disahkan akan disiarkan pada tahun hadapan, berkemungkinan seawal Januari. Peminat pasti tidak sabar untuk saksikan kesinambungan Batwoman dan kembalinya Ruby Rose beraksi sebagai Kate Kane/Batwoman.

Sayang sekali, impian anda itu akan terkubur. Baru-baru ini Ruby Rose telah membuat pengumuman yang beliau akan keluar dari dunia Arrowverse ini dan berhenti berlakon sebagai Kate Kane/Batwoman. Dengan hanya satu musim sahaja, pelakon utama terpaksa berhenti dan menjadikan siri TV ini aneh jika pelakon baru diumumkan. Ya, siri TV ini bukanlah yang terbaik dari segi jalan cerita. Tetapi, Ruby Rose telah memainkan watak Batwoman dengan baik sekali dan membuatkan saya sendiri terus tengok siri TV ini. Tiada sebab yang rasmi, kenapa Ruby meninggalkan Batwoman. Ada spekulasi mengatakan, ia adalah sebab kecederaan di set penggambaran pada tahun lepas.

Buat masa ini, pihak produksi The CW, Warner Bros. TV dan Berlanti Productions masih tidak mengumumkan siapakah pengganti Ruby Rose untuk memainkan watak Kate Kane/Batwoman ini. Musim pertama siri TV ini sepatutnya tamat dengan 22 episod. Tetapi dengan penularan Covid-19, penggambaran terpaksa dihentikan awal dan hanya dapat siarkan 20 episod sahaja. Menurut sumber, episod 20 adalah episod akhir bersama Ruby Rose. Tetapi tidak pasti sama ada lagi dua episod yang tidak selesai itu akan memperlihatkan peralihan kepada pelakon baru ataupun tidak.

Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan dan lihat siapakah pelakon baru yang bakal memegang watak Kate Kane/Batwoman.

Sohor Kini