Hyper Knife merupakan siri Korea terbaru yang akan disiarkan di Disney+ Hotstar bermula pada 19 Mac 2025. Siri ini mengikuti Dr Jung Se-ok lakonan Park Eun-bin seorang pakar bedah otak tetapi kerana sikapnya yang obsesi dengan pembedahan telah membuatkan dia bergaduh dengan Dr Choi Deok-hee lakonan Sul Kyung-gu yang juga merupakan bekas mentornya. Pergaduhan ini telah membuatkan Jung Se-ok hilang lesen perubatan yang membuatkan dia tidak lagi boleh melakukan sebarang pembedahan.
Siri ini berlaku beberapa tahun selepas kejadian tersebut dengan Jung Se-ok pada permukaannya sekadar membuka sebuah farmasi tetapi dia juga menjalankan pembedahan secara haram untuk klien-klien yang tidak ingin melalui hospital dan juga pesakit yang sudah tiada harapan mengikut hospital. Manakala Choi Deok-hee terus menjadi doktor pakar bedah otak dan antara yang terbaik di dalam negara. Masalahnya, dia sendiri mempunyai penyakit di otaknya yang memerlukan pembedahan.

Choi Deok-hee ingin melakukan pembedahan di otaknya untuk mengubat penyakit tersebut, tetapi dia takut yang pembedahan boleh mengganggu kebolehannya untuk membedah dan satu-satu harapannya adalah meminta Jung Se-ok yang dia tahu melakukan pembedahan secara haram. Namun, dengan kisah dan dendam lama di antara mereka berdua Jung Se-ok, walaupun diugut untuk didedahkan kegiatan haramnnya dan juga pelbagai imbuhan termasuk juga boleh kembali menjadi doktor, Jung Se-ok masih bertekad untuk tidak melakukan pembedahan tersebut.
Dua episod pertama untuk siri ini memfokuskan kepada pertelingkahan ini, pada masa memperlihatkan perwatakan Jung Se-ok yang bukan sahaja mempunyai obsesi untuk melakukan pembedahan, untuk menjadi terbaik tetapi juga akan melakukan apa sahaja jika ada sesuatu yang menghalangnya, termasuk juga sesuatu yang lebih teruk daripada sekadar pembedahan haram. Di pengakhiran episod dua, Choi Deok-hee mendapat tahu satu lagi rahsia mengenai Jung Se-ok mungkin akan mengubah dinamik perhubungan mereka berdua.
Berdasarkan dua episod ini, saya amat tertarik untuk melihat bagaimana ia akan dikembangkan terutama dengan perwatakan Jung Se-ok yang bukan sekadar melakukan kesalahan pembedahan haram, tetapi sikapnya selain daripada obsesi tetapi juga impulsif membuatkan apa sahaja boleh berlaku menjadikan sukar untuk dijangka apa yang akan dilakukan olehnya. Saya juga tertarik untuk melihat bagaimana perubahan perhubungan di antara Jung Se-ok dan Choi Deok-hee akan berlaku selepas ini.
Lakonan Park Eun-bin dan Choi Deok-hee juga sangat berkualiti, terutama Park Eun-bin yang membawa watak yang agak rumit dan boleh dikatakan mempunyai beberapa personaliti yang membentuk watak Jung Se-ok yang masih tidak pasti sama ada akan menjadi watak protagonis ataupun antagonis. Siri ini akan mempunyai 8 episod dan jika mengikuti pengisian seperti dua episod pertama, siri ini berpotensi untuk menjadi siri yang sarat dengan adegan-adegan menarik.
Hyper Knife akan mula disiarkan di Disney+ Hotstar pada 19 Mac 2025.


