Red One tidak membawa sesuatu yang baharu, ia merupakan satu filem aksi dengan plot yang mudah untuk dijangka dan sudah digunakan berkali-kali, akan tetapi mengejutkan kepada saya sendiri, ia satu filem yang saya mempunyai masa yang baik untuk tonton. Di dalam penceritaan yang biasa dan mudah untuk dijangka ini, disertakan juga penceritaan di-sebalik “Krimas” dan juga Santa Claus yang dilakukan dengan menarik dan menjadi perkara utama membuatkan filem ini seronok untuk ditonton.
Santa Claus ataupun Nick lakonan J.K Simmons sedang bersedia untuk melakukan penghantaran hadiah kepada kanak-kanak seluruh dunia bersempena dengan Hari Krismas, akan tetapi dia telah diculik oleh sekumpulan penjahat. Callum Drift lakonan Dwayne Johnson (The Rock) merupakan pengawal keselamatan untuk Nick berusaha untuk mencari siapa dalang di-sebalik penculikan tersebut. Di dalam siasatannya, dia dapati yang kumpulan penjahat tersebut menggunakan khidmat Jack O’Malley lakonan Chris Evans iaitu seorang yang pakar di dalam menjejak seseorang, namun dia tidak sedari yang dia menjejak Santa Claus.

Tidak mempunyai pilihan, Callum Drift terpaksa bekerjasama dengan dengan Jack O’Malley, di dalam usaha itu, mereka berdua mula lebih mengenali satu sama lain dengan Callum Drift ingin berhenti daripada menjadi pengawal keselamatan kerana sudah tidak percaya dengan kebaikan manusia, manakala Jack O’Malley juga mempunyai masalah peribadinya sendiri yang juga diberi ruang untuk dikembangkan di dalam filem ini yang mengingatkan saya kepada watak lakonannya di dalam Gifted.
Pada awalnya, berdasarkan treler saya merasakan Red One merupakan satu filem komedi, akan tetapi saya boleh katakan yang ia lebih kepada filem aksi, fantasi dan kekeluargaan berbanding komedi walaupun ada babak-babak jenaka turut disertakan bersama. Aksi di dalam filem ini dilakukan ala-ala satu filem perisikan ataupun filem adiwira melalui pelbagai kuasa yang boleh digunakan oleh Callum Drift dan juga watak-watak lain yang ada di dalam filem ini.

Manakala bahagian fantasi juga dilakukan dengan menarik dengan memperkenalkan pelbagai lagi watak-watak mitos yang mempunyai kaitan dengan Santa Claus. Ia juga menghasilkan dunia mitos ini dengan baik yang membuatkan saya berharap, ia akan dikembangkan lagi lebih daripada sekadar berkait dengan mitologi ini, ini termasuk juga ia hadir dengan satu organisasi manusia yang menjadi penjaga kepada kejadian-kejadian yang berkait dengan makhluk-makhluk mitos ini yang diwakili oleh Zoe lakonan Lucy Liu.
Bagi kekeluargaan pula, seperti saya nyatakan di atas ia berkait dengan perhubungan Jack O’Malley dengan keluargannya dan juga Callum Drfit sendiri yang mula merasakan tidak percaya dengan kebaikan manusia dan tidak lagi bersemangat untuk melakukan “Krismas” ini. Bahagian ini mencukupi untuk menjadikan filem ini boleh dikatakan sebagai satu filem Krismas.

Manakala bagi bahagian komedi pula, walaupun ia kurang menjadi fokus akan tetapi ia masih satu filem komedi dengan pelbagai adegan yang mencuit hati, akan tetapi ada masa filem ini terasa terlalu serius dan mungkin akan menjadi lebih baik jika bahagian-bahagian tertentu disertakan dengan lebih ringan untuk memberi lebih lapisan kepada filem ini.
Akhir kata, Red One bukanlah satu filem Krismas klasik ataupun membawa satu penceritaan yang unik akan tetapi ia disampaikan dengan memuaskan untuk menjadi satu tontonan yang menarik dan menyeronokkan, saya mempunyai masa yang baik semasa menontonnya terutama dengan penciptaan dunia dan juga kisah di-sebalik sesuatu yang kita panggil sebagai Krismas dan Santa Claus.


