Apple Arcade telah mengumumkan empat permainan akan menyertai perkhidmatan tersebut pada 7 November ini. Permainan yang diumumkan adalah Wheel of Fortune Daily oleh Frosty Pop Games, Drive Ahead! oleh Doydreams Fairytale Company, Arkanoid vs Space Invaders+ oleh Taito Corporation dan Texas Hold’em Poker: Pokerist+ oleh KamaGames.
Wheel of Fortune Daily merupakan permainan berdasarkan game show terkenal iaitu Wheel of Fortune, di dalam edisi ini, pemain boleh menyelesaikan tekaria perkataan secara harian. Tekaria baharu daripada pelbagai topik akan disertakan secara harian.

Drive Ahead! merupakan permainan perlumbaan kereta yang bukan sahaja mementingkan kelajuan tetapi pemain juga boleh melanggar pemain lain melalui sesi multi-pemain secara dalam talian. Selain kereta biasa, pemain juga boleh menggunakan monster trucks.

Arkanoid vs Space Invaders+ membawa tatamain yang menggabungkan dua permainan klasik iaitu Arkanoid dan juga Space Invaders di dalam satu permainan. Permainan ini menyertakan 150 peringkat melalui dua mod dan boleh menggunakan lebih 20 kemahiran untuk menyelesaikannya.

Texas Hold’em Poker: Pokerist+ menyediakan ruang untuk pemain bermain permainan kad Poker dengan pemain-pemain lain. Permainan ini sesuai untuk pemain baharu yang ingin mencuba Poker dan juga pemain berpengalaman yang ingin mencari cabaran.

Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM29.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM34.90 untuk pelan individu, RM44.90 untuk pelan keluarga, dan RM84.90 untuk Premier yang turut menyertakan Apple Fitness+


