Pada hujung minggu lepas, buat julung kalinya, kejohanan Beyblade X SEA Cup dianjurkan untuk memberi peluang kepada pemain Beyblade sekitar Asia Tenggara bertanding untuk memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk juga versi emas, perak dan gangsa bagi Dransword 3-60F.

Kejohanan yang dirasmikan oleh Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) melibatkan 15 peserta yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka dan juga kanak-kanak.

Ketika kejohanan ini juga, Takaratomy dan ADK Emotions sebagai pemberi lesen untuk Beyblade X turut menandatangani Memorandum Persefahaman Bersama (MOU) dengan syarikat tempatan iaitu Animasia Studio sebagai pemegang lesen untuk pasaran Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei bersama dengan One Unversal Productions iaitu syarikat penganjur acara.

Melalui MOU ini, mereka bercadang untuk menganjurkan lebih banyak acara Beyblade X di Malaysia untuk jangka masa tiga tahun. Selain itu, jenama beyblade juga akan diperkembangkan lagi dengan kerjasama bersama Litt Tak Sdn. Bhd. iaitu pengedar barangan permainan tempatan. Kerjasama ini berharap untuk memperkenalkan Beyblade X kepada lebih ramai peminat di Malaysia dan juga sekitar Asia Tenggara.

Selain itu, Astro CERIA juga telah mengumumkan yang siri animasi Beyblade X sudah mula disiarkan di saluran tersebut bermula pada 18 Julai lepas. Ia juga boleh ditonton melalui Astro GO untuk penstriman.

Leave a Reply