F. Gary Gray kembali dengan satu lagi filem rompakan selepas The Italian Job iaitu Lift. Beliau mengarahkan filem ini berdasarkan skrip oleh Daniel Kunka, dibintangi pula oleh Kevin Hart, Mbatha-Raw, Vincent D’Onofrio (pakar menyamar), Billy Magnussen (pakar pecah peti keselamatan), Úrsula Corberó (pilot), Yun Jee Kim (pakar teknologi), Viveik Kalra (pakar pengekstrakan), Paul Anderson, Jacob Batalon, Jean Reno, Sam Worthington dan Burn Gorman.
Terbaru, Netflix telah hadir dengan treler pertama bagi Lift.
Jelas sekali filem ini adalah filem rompakan aksi komedi di mana Cyrus Whitaker (Hart) mengetuai pasukan perompak untuk mencuri jongkong emas bernilai $500 juta di sebuah pesawat yang sedang terbang membawa penumpang. Whitaker perlu bekerjasama dengan ejen FBI lakonan Mbatha-Raw dan melakukan rompakan ini untuk mengelak pasukan pengganas menerima dana. Kejayaan rompakan ini akan membawa kebebasan kepada Whitaker dan kru.

Lift akan tiba secara eksklusif di Netflix bermula 12 Januari ini.


