Kebelakangan ini, terdapat banyak ura-ura dan laporan yang mengatakan bahawa Nintendo akan memperkenalkan model konsol baru tidak lama lagi, mungkin sebuah konsol Switch yang hadir dengan prestasi grafik yang lebih berkuasa, dan berupaya untuk mengolah permainan dengan ciri Ray-tracing.

Pastinya juga ada yang tertanya mengenai nasib Nintendo Switch sekarang ini, dan samada sokongan untuk konsol tersebut akan ditamatkan dengan awal. CEO Nintendo, Shuntaro Furukawa telah mengesahkan bahawa Nintendo akan mengeluarkan permainan untuk Switch sehingga sekurang-kurangnya bulan Mac 2024, dan sokongan kemaskini peranti akan diteruskan sehingga Mac 2025.

Ini bermakna bahawa untuk sekurang-kurangnya enam bulan akan datang, Nintendo akan memfokuskan perhatian mereka untuk mengeluarkan permainan-permainan baru untuk Nintendo Switch. Ia menguatkan lagi ura-ura bahawa Nintendo Switch 2 akan dilancarkan sekitar pertengahan tahun hadapan.

Nintendo juga dilaporkan telah membuka beberapa iklan pekerjaan berkaitan dengan jawatan pelatih pemasaran dan strategi, yang mana pada bulan Jun sehingga Ogos kelak, akan terdapat peluang untuk meningkatkan lagi pengalaman dengan kempen pemasaran yang besar, yang mem beri mereka akses kepada eksekutif-eksekutif besar syarikat.

Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah Nintendo akan memperkenalkan konsol Switch baru ini, tetapi ini boleh dikatakan sebagai petanda paling besar setakat ini bahawa Nintendo mempunyai pelan untuk melancarkan sesuatu yang baru tidak lama lagi.

Sumber: Nikkei Japan

Leave a Reply