PAW Patrol adalah satu siri animasi yang telah bermula sejak tahun 2013 lagi dan masih lagi menerima musim baharu dan telah memasuki musim ke-10. Ia juga telah menerima satu filem pada tahun 2021, dan filem kedua iaitu PAW Patrol: The Mighty Movie adalah pengenalan untuk saya bagi siri ini, oleh itu ulasan ini boleh dianggap daripada seseorang yang tidak biasa dengan siri ini berbanding yang sudah mengikuti sejak sekian lama.
Paw Patrol: The Mighty Movie mengikuti sekumpulan anjing yang juga merupakan penjaga bandar Adventure City seperti Skye, Chase, Liberty, dan Zuma yang dijaga oleh Ryder. Filem ini bermula dengan Victoria Vance iaitu seorang saintis yang ingin menarik meteor ke bumi, namun di dalam percubaan dia tersebut meteor telah terjatuh ke bumi tetapi meteor tersebut telah diambil oleh pasukan Paw Patrol.

Mereka kemudian mendapati yang meteor tersebut mengandungi batu yang boleh memberikan kuasa kepada anjing-anjing PAW Patrol, contohnya Skye mendapat kuasa seperti Superman iaitu boleh terbang dan mempunyai kekuatan fizikal, manakala anjing lain mempunyai kuasa berlainan seperti Zuma yang mempunyai kuasa air mengikuti kebolehan sedia ada mereka.
Filem ini memfokuskan kepada Victoria Vance bekerjasama dengan Humdinger untuk mencuri batu meteor tersebut daripada PAW Patrol bagi kegunaan jahat mereka. Filem ini juga memberi lebih fokus kepada watak Skye yang merasa tidak yakin dengan dirinya sendiri kerana merupakan anjing terkecil di dalam PAW Patrol.

Bagi saya, filem ini menyampaikan penceritaan dengan ringkas, hadirnya kuasa membawa perkara berlainan ke dalam PAW Patrol walaupun tidaklah perkara yang baharu kerana sudah beberapa kali digunakan sebelum ini walaupun tidak menjadi bahagian di dalam siri. Anda boleh anggap, ia adalah PAW Patrol versi Avengers. Oleh itu, penceritaan ringkas ini menjadi lebih menarik kerana menarik untuk melihat setiap PAW Patrol menggunakan kuasa masing-masing.
Bahagian pengajaran terutama melalui watak Skye dan Victoria Vance yang boleh dikatakan mempunyai masalah yang sama tetapi melakukan cara penyelesaian secara berlainan juga adalah menarik tetapi penyampaian terasa sedikit kurang kemas membuatkan ia kurang memberi impak kepada saya, tetapi mungkin adalah lebih baik bagi tontonan kanak-kanak yang saya katakan fokus utama untuk filem ini.

Victoria Vance juga adalah antagonis yang ringkas, menjadi lebih menarik dengan dia bekerjasama dengan Humdinger kedua-dua mempunyai dinamik tersendiri, namun penglibatan mereka di dalam penceritaan adalah ringkas sahaja dengan cukup-cukup untuk membawa permasalahan dan juga menjadi pedoman di dalam filem ini. Jika anda inginkan penjahat yang lebih kompleks, anda mungkin akan berjaya. Pada masa sama, filem yang ringkas ini mungkin tidak perlukan watak-watak yang kompleks.
Animasi untuk filem ini pula saya boleh katakan cukup baik, dengan banyak bahagian terutama mengenai teknologi-teknologi PAW Patrol diperlihatkan dengan mendalam, yang bagi saya adalah penting untuk mempromosikan alat-alat main yang berkait dengan siri dan juga filem animasi ini. Animasi untuk memperlihatkan pertempuran dan juga penggunaan kuasa juga dilakukan dengan mencukupi, ia tidaklah membuatkan saya berkata ‘wow’ tetapi saya boleh katakan yang saya menyukai kualiti yang diperlihatkan.

Akhir kata, PAW Patrol: The Mighty Movie adalah satu filem animasi yang ringkas, mempunyai jalan cerita serta pengajaran yang mudah untuk diikuti termasuk juga bagi kanak-kanak. Filem ini juga mempunyai watak jahat, serta aksi pertempuran dengan penggunaan kuasa yang juga mencukupi untuk menjadi penarik dan menjadikan filem ini lebih seronok untuk ditonton walaupun bagi saya pacing boleh diperbaiki lagi untuk menjadikan filem kurang meleret dan lebih padat.
Penafian: Tayangan untuk PAW Patrol: The Mighty Movie disediakan oleh UIP Malaysia bagi tujuan ulasan ini.


