Antara sebab saya kurang aktif di TikTok adalah kerana ia dipenuhi dengan pelbagai klip filem dan siri TV yang kadang-kala saya belum tonton lagi. Saya tidak hiraukan beberan, tetapi kadang-kadang ada filem dan siri TV yang dikongsi tiada sebarang tajuk atau butiran yang dikongsi. Di ruangan komen pun penuh dengan perkara yang mengarut.
Terkini, TikTok telah bekerjasama dengan IMDb (Internet Movie Database). Dengan kerjasama ini, TikTok kini mengintegrasikan ciri tag filem dan siri TV. Apabila ditekan ia akan membawa pengguna ke laman khas IMDb di dalam TikTok yang turut mengumpulkan video-video berkait dengan filem atau siri TV yang dikongsi.

Ciri ini boleh digunakan sebelum pengguna kongsi video di bahagian Add Link, dan ada pilihan Movie and TV. IMDb menyediakan lebih 12 juta senarai. Selepas video dikongsi, judul akan dipaparkan di bawah kapsyen video.
Buat masa ini, ciri ini hanya ditawarkan kepada pengguna AS dan UK sahaja. Tiada sebarang informasi jika ciri ini akan diedarkan secara lebih meluas atau akan tiba ke Malaysia.


