Jika anda peminat tegar siri Power Rangers sejak era 90an dahulu, anda pasti mengingati nama Jason David Frank yang memainkan watak Tommy Oliver yang juga merupakan Green Ranger dan kemudiannya White Ranger.
Beliau kemudiannya membina karier sebagai seorang atlit Mixed Martial Arts, dan kini dilihat akan kembali ke lakon layar dengan memainkan watak baru dalam filem Legend of The White Dragon. Filem ini, olahan studio Bat in The Sun, dan boleh dilihat sebagai satu penghormatan kepada siri televisyen dan filem Power Rangers yang sering ditonton di kaca TV bermula sekitar 20 lebih tahun yang lalu.
Legend of The White Dragon berkisarkan tentang Erik Reed (dimainkan oleh Jason David Frank) yang ditewaskan oleh Ashtagor, makhluk jahat yang cukup kuat. Oleh kerana pertempuran diantara kedua-dua watak ini menyebabkan kemusnahan dan kematian, Erik Reed dianggap sebagai seorang penjahat yang perlu ditangkap oleh pihak penguatkuasa, khususnya Datuk Bandar Trevon Sterns yang dilakonkan oleh David Ramsey (Arrow).
Akibat kekalahan ini juga, Erik Reed hilang kuasa untuk menjadi adiwira White Dragon, dan perlu mencari jalan untuk mengembalikan kuasa itu, disamping berjaga-jaga tentang seorang musuh baru yang juga mahu membunuhnya, iaitu Dragon Prime.
Apa yang diketahui mengenai tayangan filem ini setakat ini ialah ia akan tiba pada tahun 2022 kelak, dan kami jangka Bat in The Sun akan mengumumkan butiran lanjut mengenai filem ini di masa akan datang.


