Dua bulan lepas, Netflix mengumumkan Geeked – atau Netflix Geeked. Ia adalah penjenamaan semula kepada akaun Twitter popular mereka @NXOnNetflix, yang mana kini adalah @NetflixGeeked. Akaun Twitter ini kebiasaannya mengumumkan pelbagai filem, siri TV dan kandungan baharu berserta pelbagai kandungan eksklusif.
Buat pertama kalinya di bawah jenama Netflix Geeked, satu acara maya akan diadakan iaitu Geeked Week. Ia adalah acara khusus untuk para peminat tegar pelbagai kandungan asli Netflix seperti The Sandman, The Umbrella Academy, The Witcher, Gunpowder Milkshake atau The Cuphead Show!. Acara ini akan mendedahkan banyak informasi seperti tarikh siaran, video acah baharu, video-video temu ramah bersama para pelakon, persembahan, video di sebalik tabir dan banyak lagi.
Acara ini akan berlangsung dari 7 Jun sehingga 11 Jun 2021. Acara ini akan disiarkan di pelbagai platform rasmi mereka iaitu YouTube, Twitter, Twitch, Facebook dan juga TikTok. Masa siaran adalah pada 5:00 p.m. Acara ini akan dihoskan oleh Rahul Kohli and Mari Takahashi, sekain itu beberapa selebriti jemputan lain turut akan menyertai mereka seperti Trisha Hershberger, Erika Ishii, Geoff Keighley, Yuri Lowenthal, dan Kiera Please.

Antara kandungan menarik yang bakal Netflix umumkan adalah The Umbrella Academy musim baharu, The Witcher musim dua, The Cuphead Show!, Master of the Universe: Revelation, filem dan animasi Resident Evil, Cobra Kai dan banyak lagi. Netflix juga akan mengumumkan pelbagai kandungan baharu yang diadaptasi daripada permainan video seperti Assassin’s Creed, The Division, Splinter Cell, Sonic Prime, Tomb Raider, Cyberpunk: Edgerunners dan lebih banyak lagi yang anda mungkin lupa atau tidak sangka Netflix yang akan menyiarkannya tidak lama lagi.
Sama-sama kita nantikan.


