Bermula malam tadi dan sejak tengah hari hari ini, Disney+ Hotstar mula boleh diakses oleh orang ramai. Malam tadi untuk mereka yang membayar RM54.90 sebagai kos langganan tiga bulan, manakala tengah hari tadi untuk pelanggan Astro yang melanggan pek Movie. Secara tidak langsung, menambah lagi senarai perkhidmatan penstriman yang ada di Malaysia.

Selain daripada Netflix yang lebih terkenal, kita juga boleh melanggan Apple TV+, Amazon Prime Video, Nurflix, HBO Go, atau yang percuma seperti Tubi dan banyak lagi. Dalam artikel ini, kami bandingkan lima perkhidmatan penstriman video yang paling menarik dan lebih dikenali ramai iaitu Netflix, Apple TV+, Disney+ Hotstar, Viu dan Amazon Prime Video. Di samping itu, kami juga akan menyenaraikan beberapa platform lain yang mungkin anda tidak tahu atau masih belum cuba.
[info] Baca: #Seratus21 – Perang Penstriman Video [/info]

Kami bandingkan dengan empat kategori utama iaitu harga langganan, tawaran atau promosi, kandungan yang ditawarkan serta di platform manakah perkhidmatan itu boleh diakses. Kita lihat harga permulaan bagi setiap perkhidmatan, Netflix adalah RM17, Apple + RM19.90, Disney+ RM54.90, Viu RM12.90 dan Prime Video sekitar RM25. Jika kongsi akaun/profil, pelan paling jimat adalah Apple TV+ kerana langganan Apple One untuk enam orang pada harga hanya RM5.65 sebulan seorang. Netflix yang berbaloi sebenarnya pelan Premium kerana menyokong 4K HDR, ia juga menyokong empat peranti jadi jika seorang satu peranti – hanya sekitar RM13.75 sebulan.
Disney+ Hotstar masih baru lagi, jadi penawaran hanya satu pelan satu harga mungkin hanya untuk melihat berapa ramai yang sebenarnya minat. Ia juga terhad kepada dua peranti dan tidak boleh mencipta profil, jadi harga sebulan adalah RM18.30 untuk satu pengguna. Viu pula empat peranti termasuk TV, tetapi tidak boleh juga mencipta profil dan hanya jika anda langgan pelan setahun anda boleh dapatkan sebulan sekitar RM7.30.

Akhir sekali Prime Video, hanya Digi sahaja setakat ini menawarkan langganan dalam mata wang Ringgit. Jika tidak langganan adalah dalam mata wang USD. Juga hanya satu pelan, tetapi menyokong tiga peranti dan boleh mencipta enam profil. Jadi jika dikongsi tiga harga sebulan adalah sekitar RM8.30. Jika anda ingin budi bicara dengan rakan untuk tidak menstrim serentak – kongsi untuk enam orang boleh dapat harga sekitar RM4.20 sebulan.
Walau bagaimanapun, setiap perkhidmatan penstriman video ini ada fokus masing-masing. Tidak semua kandungan yang ditawarkan oleh setiap platform menepati citarasa semua orang. Contohnya Apple TV+ masih lagi mempunyai kandungan yang terhad. Mereka lebih fokus kepada kandungan asli sahaja. Disney+ pula menawarkan banyak siri, filem, animasi dengan majoriti hak intelek milik Disney – hampir kesemua boleh disitrim. Selain itu Disney+ juga menawarkan akses awal kepada drama TV3/TV9, banyak siri TV MCU dan juga kandungan lain untuk peminat Star Wars dan lain-lain.

Viu pula lebih banyak kepada kandungan di Asia merangkumi Malaysia, Indonesia, China, Jepun dan Korea. Prime Video pula walaupun ada banyak siri dan filem asli, mereka juga ada banyak tawarkan kandungan Bollywood dan Tamil di Malaysia selain baru cuba dengan siri animasi asli. Netflix sehingga hari ini masih menjadi juara, kerana menawarkan lebih banyak kandungan berbanding kesemua platform yang ada.
Netflix lebih sesuai untuk umum kerana semua kandungan dalam platform mereka pasti akan menepati citarasa masing-masing. Ya, harga sedikit mahal – tetapi dengan kandungan yang terlampau banyak sehingga buntu dan kata “dah takde benda nak strim!”.

Platform Lain Yang Patut Anda Cuba
Mubi

Sebuah platform yang menawarkan banyak siri TV dan filem klasik. kebanyakan kandungan klasik tempatan boleh ditemui dalam platform ini dan beberapa daripada luar negara turut ditawarkan. Antara yang termurah dengan harga langganan serendah RM 5 seminggu dan RM 10 sebulan.
Tubi

Pelbagai filem dan siri TV menarik luar negara ditawarkan. Kebanyakan adalah hak intelek daripada Fox dan juga kandungan klasik. Mereka baru ingin berjinak dalam industri kandungan asli dan lebih menarik, ia adalah percuma 100.
YouTube Premium

Sebelum YouTube Premium dikembangkan secara meluas, Google ada produk lain YouTube Red. Melaluinya banyak siri TV dan filem asli YouTube Original ditawarkan. Ada yang sudah diambil-alih oleh studio lain ada yang masih diteruskan. Untuk anda akses, perlulah langgan sebulan RM 10.90 untuk pelajar, RM 17.90 individu dan RM 26.90 untuk enam orang (keluarga) – kongsi enam dapatlah RM 4.50 seorang. Setiap langganan turut termasuk dengan YouTube Music, tiada iklan dan tiada had peranti.
Nurflix

Satu-satunya platform penstriman tempatan yang memfokuskan kandungan islamik. Semua kandungan juga adalah mematuhi syariah. Antara kandungan yang ditawarkan adalah siri TV, filem , dokumentari, podcast dan banyak lagi. Percuma untuk diakses dengan kandungan terhad. Tetapi kandungan premium boleh dilanggan; Sebulan RM 36, Setahun RM 336, Seumur hidup RM 3,600.
Curiosity Stream

Platform penstriman video 100% dokumentari, di mana menurut mereka ribuan ditawarkan. Ada dalam bentuk filem ada juga dalam bentuk siri. Setiap dokumentari adalah daripada pelbagai genre dan tema termasuk angkasa, sejarah, planet dan lain-lain lagi. Harga adalah dalam USD, iaitu pelan HD sebulan $2.99 (sekitar RM 12.34), pelan HD tahunan $19.99 (sekitar RM 82.49), pelan 4K sebulan pula adalah $9.99 (sekitar RM 41.22) dan akhir sekali pelan 4K tahunan adalah $69.99 sekitar (sekitar RM 288.81).
HBO Go

Jika anda tahu apa itu saluran HBO, HBO Go atau HBO Go Asia untuk pasaran Malaysia merupakan versi penstriman saluran HBO di Astro. Ia juga adalah alternatif kepada HBO Max yang berada di Amerika Syarikat. Jadi kandungan seperti filem, siri TV tidak sama – tetapi baru-baru ini beberapa kandungan asli HBO Max mula ditawarkan dengan masa penstriman serentak dengan Amerika. Harga langganan adalah RM 34.90 sebulan. Boleh log masuk ke tiga peranti, tetapi hanya boleh menstrim daripada dua peranti serentak sahaja – jika kongsi dua orang dapatlah RM 17.45 seorang.
Dimsum

Dimsum inni sekan Viu, banyak kandungan siri TV atau filem daripada negara-negara Asia. Ia juga ditawarkan di bawah Unifi untuk memudahkan lagi pelanggan menikmati platform penstriman ini. Selain daripada itu pelbagai animasi, pendidikan untuk kanak-kanak, kandungan gaya hidup dan kategori lain dalam pendidikan ditawarkan. Harga adalah RM 8 sebulan untuk dua peranti atau RM 13.90 sebulan untuk lima peranti.
Cultpix

Jika anda adalah peminat filem yang ngeri, aneh, seram seriau yang berdarah – lebih lagi filem-filem klasik atau kultus – Cultpix bakal dibuka secara umum tidak lama lagi. Semua kandungan adalah untuk penonton 18 tahun dan ke atas, kerana ia tidak ditapis dan juga tiada sekatan lokasi. Harga langganan kelak adalah $79 sebulan, iaitu sekitar RM 326.
Harap dengan artikel ini ia adapat membantu anda memilih platform manakah yang terbaik untuk diri masing-masing. Anda perlu ingat, jika minat banyak – bukan bermakna anda perlu bayar setiap bulan. Anda mungkin boleh bergilir sehingga temui yang paling setia.
Sempena PKP berskala penuh ini, ayuhlah habiskan masa lapang untuk strim pelbagai kandungan daripada pelbagai perkhidmatan agar boleh bergembira dan tidak murung. Sama-sama kita jaga diri dan cegah Covid-19.


