Yabba-dabba-doo! Flintstones, meet the Flintstones, They’re the modern Stone Age Family …
Siapa sahaja yang tidak ingat akan lirik lagu di atas? Ia adalah lagu tema kepada francais animasi The Flinstones. Animasi ini dihasilkan oleh Hanna-Barbera yang disiarkan pada September 30, 1960 sehingga April 1, 1966. Ia mengisahkan keluarga Flinstones dan jiran keluarga Rubbles – yang mana merupakan sitkom animasi yang lucu, romantik dan penuh dengan pengembaraan menarik.
Sebelum adanya keluarga Simpsons di Springfield (1986) atau keluarga Griffin di Quahog (1999), kisah keluarga Flinstones yang berlaku di Bedrock adalah animasi kegemaran ramai. Warner Bros. Animation dan FOX Entertainment akan hadir dengan sekuel kepada siri animasi ini dengan judul Bedrock, di mana ia berlaku 20 tahun selepas siri animasi The Flinstones.
Watak Pebbles kini berusian 20-an mula ingin mencari kehidupan sebagai seorang dewasa, manakala Fred pula sudah ingin pencen. Elizabeth Banks akan menjadi pelakon suara kepada Pebbles dan turut akan menerbit siri animasi baharu ini. Siri animasi ini disasarkan kepada penonton dewasa, sama seperti The Simpsons, The Family Guy, Bob’s Burgers dan lain-lain.

Penulis skrip Jurassic World: Camp Cretaceous, Lindsay Karns akan menjadi penulis skrip siri animasi ini. Buat masa ini hanya episod satu sahaja dirancang atau digelar sebagai episod pilot. Jika semuanya berjalan lancar dan diberi kelulusan, ia akan diteruskan menjadi siri animasi pertama The Flinstones selepas 55 tahun tiada yang baru.


