Selepas sekian lama penantian, petanda awal yang Disney+ akan memasuki Malaysia mula muncul. Pada awalnya Astro yang tidak lagi menawarkan saluran Disney XD dan kemudiannya laman Facebook dan Instagram rasmi mula muncul. Tetapi hanya sekelip mata sahaja, kedua-dua laman media sosial ini telah dipadam. Ini menimbulkan persoalan, bilakah platform ini boleh diakses oleh pengguna tempatan.

Disney+ adalah tempat di mana pengguna boleh menikmati kandungan asli Disney+ seperti siri TV Marvel Cinematic Universe – WandaVision, Falcon and the Winter Soldier, Loki, pelbagai filem animasi, dokumentari dan banyak lagi. Terkini, dalam cubaan memasang aplikasi Disney+ Hotstar melalui pemasangan APK ke peranti Android – Disney+ Hotstar sudah bersedia untuk dilancarkan di sini. Pertama sekali, pendaftaran dengan nombor telefon tempatan sudah boleh dilakukan. Kemudian dari dalam aplikasi pelbagai promosi didedikasikan untuk pengguna tempatan, seperti akan ada sokongan alih suara, sokongan antaramuka bahasa melayu dan pelbagai lagi.

Paling mengejutkan adalah harga langganan yang telah terpapar, iaitu Disney+ Hotstar Premium yang berharga hanya RM89.90 setahun. Ini bermakna harga sebulan adalah sekitar RM7.50 sahaja. Jika dibandingkan dengan Netflix yang ada pelan mengikut profil dan resolusi yang mencapai sehingga RM55, Disney+ Hotstar adalah jauh lebih murah dan mampu milik. Harga langganan ini pasti akan menarik minat orang ramai. Bila ia akan dilancarkan masih tidak pasti, tetapi apa yang pasti ia sudah hampir.

Sumber: BuzzPop

Leave a Reply