505 Games dan Remedy Entertainment sebelum ini telah mengumumkan edisi baharu untuk Control iaitu Control Ultimate Edition. Ia tidak menawarkan sesuatu yang baharu selain daripada pemain akan mendapat naik-taraf percuma ke PlayStation 5 ataupun Xbox Series X.
Perkara tersebut telah mencetus tanda tanya dan juga kritikan, terutama oleh pemain yang sudah memiliki Control. Ini ditambah lagi apabila mereka mengatakan hanya pemilik edisi baharu sahaja yang dapat menerima naik-taraf percuma.
Namun, hari ini, mereka mengeluarkan penerangan lebih lanjut mengenainya. Mereka mengatakan yang pemilik Control di PS4 dan juga Xbox One boleh sepenuhnya bermain di PS5 atau Xbox Series X melalui sistem keserasian belakang yang hadir di kedua-dua konsol tersebut.
Dengan pengumuman tersebut, pemilik Control mungkin dapat menarik nafas lega, akan tetapi mereka mengatakan yang versi Ultimate Edition akan mengguna pakai segala kelebihan kuasa yang hadir melalui konsol generasi baharu ini.
Jadi persoalan baharu kini timbul, adakah Control dimainkan di konsol generasi baharu melalui sistem keserasian belakang tidak akan mendapat kualiti yang lebih baik? Lebih mengelirukan, 505 Games menyatakan yang sistem keserasian belakang ini akan membawa pengalaman yang lebih baik berbanding dimainkan di konsol generasi sekarang.
Walaupun 505 Games mengesahkan yang pemilik sekarang masih lagi membawa permainan mereka ke konsol generasi baharu, akan tetapi perbezaan antara keserasian belakang dan naik-taraf masih lagi mengelirukan.
Control sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC. Ia juga akan tiba untuk PlayStation 5 dan Xbox Series X.


