Moving Out merupakan satu lagi permainan oleh penerbit Team 17 yang memfokuskan bentuk permainan secara koperasi. Dengan menyokong sehingga empat pemain serentak, permainan ini meletakkan pemain untuk bekerja sebagai pemindahan barang dan perabot di mana tugas utama pemain adalah mengheret perabot ke lori pemindahan.

Ianya dilancarkan di konsol PlaySation 4, Xbox One, Switch dan juga PC pada 28 April 2020 lepas dan kami berpeluang untuk mencuba permainan ini di konsol PlayStation 4 Pro.

Dengan berkonsepkan permainan koperasi seakan satu lagi siri permainan yang turut diterbitkan oleh Team 17 iaitu Overcooked!, adakah permainan ini akan menarik minat mereka yang meminati genre ini? Ini adalah ulasan kami.

Penceritaan Lawak Jenaka Yang Sekadar Ada

Moving Out bukanlah satu permainan yang memfokuskan penceritaan yang mendalam ataupun sebarang naratif perwatakan yang menarik. Permainan ini pada permulaannya hanya meletakkan pemain sebagai pekerja untuk memindah barang dan pemain hanya melakukan tugas yang diberi berdasarkan peringkat-peringkat permainan oleh pelanggan.

Akan tetapi, sepanjang pengembaraan pemain, penceritaan permainan ini akan terungkai yang mana ia memperlihatkan beberapa bentuk plot termasuklah watak penjahat yang akan pemain temui di dalam permainan ini. Selain itu, ketika penghujung permainan ini, pemain juga akan bertembung dengan watak penjahat tersebut yang mana dukacitanya, bentuk penceritaan tersebut hanya berlaku pada penghujung permainan sahaja.

Ini sekaligus membuatkan penceritaan permainan ini berasa seakan tidak lengkap dan saya berharap agar SMG Studios tambahkan lagi pelbagai penceritaan seperti peringkat akhir yang mana ia adalah salah satu gaya penyampaian yang agak baik berbanding bahagian awal permainan.

Akan tetapi, secara jujurnya saya cakap ia tidaklah membawa sebarang aspek penceritaan yang mendalam bahkan sepanjang sesi permainan saya, saya langsung tidak menghiraukan sebarang dialog sembang antara watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini.

Akan tetapi, saya harus akui terdapat beberapa elemen lawak jenaka yang terdapat di dalam dialog tersebut yang mana ia sedikit sebanyak membawa bentuk penceritaan yang agak comel ketika pengembaraan pemain. Namun, jika anda ingin bermain permainan ini tanpa menghiraukan sebarang penceritaan, saya sendiri pasti ia tidak akan langsung merosakkan sebarang pengalaman permainan anda.

Visual dan Audio Yang Comel

Dari segi visual, Moving Out secara estetik, permainan ini mempunyai rekaan seakan siri Overcooked!. Ini bukanlah satu perkara yang negatif, namun pada pendapat saya sendiri, memandangkan permainan ini dibangunkan oleh pembangun yang lain, walaupun diterbitkan oleh pembangun yang sama, ianya terlalu serupa.

Ini adalah kerana seperti permainan Overcooked!, Moving Out membenarkan pemain untuk memilih pelbagai jenis watak yang terdiri daripada pelbagai jenis bentuk sama ada haiwan mahupun manusia. Selain itu, konsep watak berkerusi roda juga disertakan di dalam permainan ini.

Namun, ini hanyalah rungutan kecil saya sahaja atas sebab rekaan tersebut tidaklah memberi kesan terhadap keseluruhan permainan ini. Namun saya cuma berharap agar SMG Studios membawa sedikit kelainan buat permainan ini walaupun ia adalah genre yang sama.

Dari segi rekaan barangan persekitaran, rekaan peringkat sehinggalah rekaan paparan antaramuka, kesemuanya tidaklah membawa sebarang kelainan untuk permainan bergenre ini. Bahkan ianya berasa agak sama dan sekadar ada dengan apa yang disampaikan.

Akan tetapi, jika anda menyukai visual estetik sebegini, saya pasti anda akan menyukai rekaan visual comel yang diperlihatkan di dalam permainan ini seperti kucing yang mempunyai pelindung mata ataupun watak kuda yang berdiri seakan manusia.

Dari segi audio, tidak banyak yang saya boleh katakan atas sebab ia adalah sekadar ada. Ya, ia menyertakan beberapa muzik yang agak comel, namun saya sendiri telah pun bermain pelbagai jenis permainan bergenre sebegini, dan Moving Out pada pendapat saya tidaklah membawa sebarang bentuk baharu dari segi aspek ini.

Kawalan Permainan Yang Berulangan

Kawalan permainan ini merupakan aspek utama mengapa membuatkan permainan ini berlainan dengan permainan koperasi lain. Seperti saya katakan di atas, permainan ini memfokuskan pemain untuk memindah barangan dan perabot di mana pemain tidaklah perlu melakukannya dengan berhati-hati atas sebab pelanggan pemain mempunyai ‘insurans’ untuk memindah barang.

Oleh sebab itu, bentuk ini membuatkan sesi permainan menjadi huru hara bukan sahaja disebabkan pemain berupaya untuk memindah barangan sesuka hati, namun pemain juga perlu kejar masa yang diberikan untuk menerima pingat.

Seperti Overcooked!, permainan ini menyertakan satu objektif masa untuk pemain lengkapkan di mana pada permulaan permainan, ia akan beri beberapa jumlah barangan yang pemain perlu pindahkan ke lori dan jika pemain melengkapkan dalam tempoh masa yang diberi, pemain akan mendapat pingat emas, perak ataupun gangsa.

Konsep ini tidak asing untuk siri permainan bergenre sebegini dan menariknya, jika pemain melakukan misi tambahan seperti memecah tingkap ataupun membuat pemindahan tanpa merosakkan perabot, pemain juga akan menerima ganjaran bonus khas. Namun misi ini adalah berbeza mengikut peringkat dan senarainya hanya akan dipaparkan setelah pemain tamatkan peringkat tersebut. Sekaligus, untuk sesi kali kedua, pemain boleh lakukannya sekali lagi untuk melengkapkan misi tersebut.

Dari segi kawalan, pemain boleh membawa perabot dengan menekan butang L2 ataupun R2 di mana kemudiannya pemain boleh mengheret perabot tersebut ke lori. Jika pemain secara solo, barangan tersebut menjadi lebih ringan untuk di bawa, namun jika pemain bermain secara koperasi, barangan perabot besar seperti katil atau sofa perlu dibawa dua pemain untuk memudahkan pemain angkat ke lori. Selain itu, pemain juga boleh membaling barangan tersebut untuk mempercepatkan sesi pemindahan barangan.

Sepanjang sesi permainan, pemain juga akan temui beberapa halangan seperti hantu yang akan menangkap pemain ataupun beberapa lokasi yang sempit dan beracun yang memerlukan pemain untuk lompat dan sebagainya. Secara asasnya, konsep ini adalah menarik, akan tetapi dari segi bentuk pemindahan barang, kesemua pentas permainan ini menyertakan bentuk permainan yang sama sahaja di mana anda mengheret perabot untuk ke lori sahaja. Ia berasa agak berulangan dan jika dimainkan secara terus, anda mungkin akan berasa sedikit bosan dengan aspek permainan sebegini.

Walaupun begitu, seperti kebanyakan permainan koperasi lain, permainan ini juga lebih seronok jika dimainkan dengan ramai pemain. Ketika sesi permainan saya bersama rakan, ia berasa agak seronok dan menarik untuk melengkapkan tugasan untuk memindah barangan tersebut atas sebab rekaan pentas dan cabaran yang disediakan sangat unik dan kelakar. Namun, setelah beberapa sesi permainan, ia masih berasa agak hambar atas sebab kami melakukan perkara yang sama sahaja berulang kali tanpa perubahan dari segi aspek kawalan utama.

Ini kerana anda hanya akan mengangkat barang tersebut dengan butang L2 atau R2 dan terus letak di lori. Sekurang-kurangnya permainan koperasi lain seperti Overcooked! masih menyertakan pelbagai resipi yang berbeza untuk membuatkan sesi permainan berasa sedikit berlainan.

Moving Out juga turut menyertakan bentuk pemindahan dengan bertempur musuh. Namun, aspek tersebut hanya terdapat di penghujung permainan sahaja.

Selain itu, tidak seperti Overcooked! 2, permainan ini tidak menyertakan sebarang sokongan bermain secara atas-talian. Sekaligus jika anda tidak mempunyai sebarang teman ataupun keluarga di rumah, anda hanya boleh mainkan permainan ini secara solo sahaja. Namun menurut kenyataan SMG Studios, fungsi atas-talian hanya tiba di PC dan tidak di konsol, sekaligus kami percaya mereka mungkin akan menyertakan kelak melalui kemaskini permainan pada masa akan datang.

Kandungan Pelbagai Peringkat

Secara keseluruhan, permainan ini mempunyai 30 peringkat utama yang pemain boleh lakukan. Namun ianya masih lagi menyertakan beberapa peringkat bonus yang pemain boleh dapatkan berdasarkan jumlah pingat yang pemain terima setelah melakukan beberapa misi di dalam permainan ini.

Apa yang membuatkan permainan ini menarik adalah kandungan peringkat bonus tersebut merupakan salah satu aspek utama mengapa saya menyukai permainan ini di mana ia menyertakan pelbagai peringkat dengan rekaan pentas yang sangat pelbagai. Dari pemindahan barang atas kapal terbang sehinggalah memindah barang ketika banjir.

Selain itu, permainan ini juga menyertakan satu mod ‘arked’ yang pemain boleh main dengan cabaran untuk membawa barang ke peringkat akhir seakan satu perlumbaan. Konsep ini juga agak menarik dan membawa kepelbagaian buat keseluruhan permainan ini.

Atas sebab ini juga mengapa saya sangat menyukai kandungan permainan ini di mana ia menyertakan pelbagai peringkat permainan yang pemain boleh mainkan dan sekaligus buat mereka yang ingin mengulang bermain, anda pasti akan berpuas hati dengan jumlah peringkat yang tersedia.

Untuk memudahkan pemain, permainan ini juga menyertakan fungsi untuk mengubah beberapa aspek cabaran permainan ini seperti memanjangkan tempoh masa untuk melengkapkan sesi pemindahan ataupun menghilangkan barangan di lori untuk mudahkan pemain meletak barang untuk dipindahkan. Bentuk ini adalah satu aspek yang sangat bagus atas sebab ia memberi sedikit kemudahan jika pemain bermain dengan bukan pemain veteran ketika sesi koperasi pemain bersama rakan ataupun keluarga.

Walaupun begitu, ianya hanyalah terhad kepada kandungan peringkat sahaja atas sebab bentuk kawalan seperti yang saya katakan di atas, masih lagi kekal sama, seperti rungutan saya di bahagian kawalan.

Kesimpulan

Akhir kata, Moving Out semestinya mempunyai konsep permainan yang menarik dan seronok untuk dimainkan secara koperasi bersama rakan-rakan mahupun keluarga. Sepanjang sesi permainan saya jika bermain secara koperasi, semestinya ia akan menguji hubungan antara pemain di mana kerjasama itu adalah sangat penting untuk melengkapkan objektif permainan ini.

Namun, keseronokan tersebut mungkin akan terhad beberapa jam atau beberapa peringkat sahaja atas sebab bentuk permainannya yang berulangan dengan hanya peringkat permainan sahaja yang berbeza. Ini sekaligus membuatkan segala pengalaman permainan berasa begitu cepat bosan setelah pemain selesaikan beberapa peringkat sahaja.

Aspek bentuk permainan secara solo juga tidak dikembangkan dengan baik walaupun ia boleh dimainkan berseorangan diri, namun atas sebab kawalan yang berulangan, permainan ini berasa sangat kosong dan menyusahkan setiap kali saya bermain.

Walaupun begitu, saya masih menghargai kandungan-kandungan peringkat permainan yang disediakan oleh pembangun di mana jika anda ingin mencari rekaan peringkat permainan yang pelbagai, permainan ini menyediakannya.

Tetapi, sebagai satu permainan parti koperasi, saya sendiri lebih mengesyorkan permainan-permainan lain seperti siri Overcooked! mahupun Super Mario Party yang menyertakan lebih banyak bentuk permainan yang pelbagai dan lebih berbaloi dengan harganya.

Penafian: Kod ulasan Moving Out disediakan oleh PlayStation Asia.

Sohor Kini